Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/JBPM Gombak
GOMBAK, 15 Apr (Malaysiaaktif) – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Gombak memaklumkan hampir 60 peratus kawasan Gombak telah dilakukan sanitasi nyah cemar oleh sepanjang Fasa Dua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Bomba Daerah Gombak, Penguasa Kanan Bomba II Samsol Maarif Saibani, berkata sebanyak 15 kawasan awam seperti taman permainan, surau, masjid, pasar awam serta hentian bas dilakukan sanitasi pada waktu pagi dan petang setiap hari.
“Pihak kami juga menerima permohonan daripada agensi seperti Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Gombak dan lain-lain untuk proses sanitasi yang akan dilaksanakan secara berperingkat.
“Setiap operasi akan melibatkan 30 anggota dengan dibantu anggota MPS, polis dan Ahli Majlis MPS yang memberikan kerjasama termasuk penyediaan keperluan berkaitan.
“Dalam Fasa Tiga PKP nanti, kami akan teruskan dengan proses sanitasi sehingga kawasan awam disahkan bebas kuman sepenuhnya,” katanya selepas operasi sanitasi nyah cemar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini hari ini.
Beliau berkata, operasi di IPD Gombak berlangsung selama dua jam bermula jam 10 pagi merangkumi 35 blok termasuk bangunan pentadbiran, kuarters, dewan serta taman awam yang terlibat.
“Ianya turut melibatkan lokap yang menempatkan 35 orang kena tahan (OKT) dan bilik pentadbiran sambil dipantau anggota polis yang menunjukkan laluan serta kawasan yang dibenarkan untuk semburan.
“Operasi sanitasi di IPD Gombak ini disebabkan balai polis merupakan tempat awam yang terdedah kepada jangkitan dan langkah pencegahan serta nyah cemar dapat meningkatkan keyakinan petugas dan orang awam untuk berurusan,” katanya.
-NAZ