Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

COVID-19: Makmal Baharu Bakal Dibuka Di Johor

By 12 April 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siti Nabila Bohari/MedKom (Johor Bahru)

ISKANDAR PUTERI, 12 Apr (Malaysiaaktif) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuka sebuah makmal baharu di negeri ini bagi melancarkan usaha pengesanan virus COVID-19.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, pembukaan makmal ini masih dalam proses penyediaan dan dijangka dapat membantu operasi dua buah makmal yang sedia ada.

“Terdapat dua buah makmal COVID-19 yang sedang beroperasi di negeri ini iaitu di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Makmal Kesihatan Awam Johor Bahru.

“KKM juga akan turut bekerjasama dengan pihak swasta untuk melakukan saringan dan ujian bagi mendapatkan keputusan yang lebih cepat dan tepat,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Bangunan Sultan Iskandar di sini, semalam.

Tambah beliau, jumlah kemasukan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura juga berkurangan berikutan pengumuman penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara itu pada 7 April lalu.

“Pada fasa pertama pelaksanaan PKP di negara ini, seramai 1,400 rakyat Malaysia telah pulang menerusi tambak Johor manakala 700 orang lagi melalui laluan Link-Kedua.

“Jumlah tersebut bagaimanapun semakin berkurangan selepas Singapura turut melaksanakan PKP,” ujarnya lagi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Vidyananthan Ramanadhan.

-NI-

Tinggalkan komen anda