Laporan/foto: Shah Hood/MedKom (Johor Bahru)
ISKANDAR PUTERI, 12 Apr (Malaysiaaktif) – Tiada kenaikan mendadak harga barang keperluan dikesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac yang lalu di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Vidyananthan Ramanadhan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Johor telah menjalankan pemeriksaan khas terhadap harga barangan keperluan asas bagi memastikan ia dalam keadaan yang terkawal.
“Seramai 200 anggota penguatkuasa KPDNHEP yang bertugas di semua daerah telah menjalankan pemeriksaan harga barangan keperluan di 1,430 premis perniagaan yang merangkumi 1,300 peruncit, 86 pemborong utama dan 44 pengilang.
“Pemeriksaan khas ini lebih tertumpu dalam memastikan tindakan penguatkuasaan berjalan lancar dan tiada cubaan menaikkan harga oleh para peniaga semasa PKP,” ujarnya menerusi kenyataan Media Awam Situasi Semasa COVID-19 Negeri Johor, di sini, semalam.
Tambah beliau, KPDNHEP Johor juga akan sentiasa memastikan harga barangan keperluan dalam keadaan terkawal di mana pemeriksaan secara berkala akan dijalankan meliputi semua rantaian pengedaran yang melibatkan peruncit, pemborong dan juga pengilang.
“Sekiranya didapati terdapat peniaga yang cuba menaikkan harga secara mendadak, tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 atas kesalahan mencatut akan dikenakan terhadap mereka,” katanya lagi.
Vidyananthan turut memaklumkan bahawa bekalan barangan keperluan harian di negeri ini juga masih boleh didapati dengan mudah di pasar raya dan kedai-kedai runcit tanpa sebarang masalah.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada para petugas kesihatan dan keselamatan barisan hadapan yang sentiasa bersedia dan responsive dalam menjalankan tugas mereka dengan penuh dedikasi bagi menangani penularan wabak COVID-19 ini,” ujarnya.
-NI-