
Laporan/foto: Zayana Isa/Sh. Nurul (Kuantan)
INDERA MAHKOTA, 5 Apr (Malaysiaaktif) – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) komited untuk memperkasa usaha bagi mengekang penularan berita palsu mengenai wabak COVID-19 yang sedang melanda negara ketika ini.
Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata KKMM akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak atau individu yang menyebarkan berita palsu mengenai wabak ini.
“Disebabkan berlakunya peningkatan kes dalam penyebaran berita palsu ketika ini, KKMM akan mengambil tindakan tegas kerana kita tidak mahu rakyat keliru dan gusar dengan berita-berita palsu yang disebarkan terutamanya melalui media sosial,” katanya kepada pemberita di Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan COVID-19 bagi Parlimen Indera Mahkota baru-baru ini.
“Setakat ini, 20 kes yang disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah didakwa di mahkamah dan lima notis amaran telah dikeluarkan.
“Saya berharap agar masyarakat tidak menyebarkan berita yang tidak sahih kerana ia tidak membantu kita menangani wabak COVID-19 ini,” katanya lagi.
Baru-baru ini satu Pasukan Respon Pantas KKMM telah ditubuhkan bagi mengekang dan memerangi penularan berita palsu.
-KN