
Laporan/foto: Luqman Hakim (Petaling)/IPK Selangor
SHAH ALAM, 5 Apr (Malaysiaaktif) – Seramai 974 individu ditahan pihak polis atas kesalahan tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri Selangor sejak ianya dilaksanakan 18 Mac lalu hingga semalam.
Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Selangor, Asisten Komisioner Mohd Ismail Muslim, berkata sebanyak 737 laporan polis diterima dan daripada jumlah tersebut sebanyak 484 kes telah disiasat.
“Sejumlah 57 kes telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2020.
“Kami mengingatkan agar anggota dan pegawai di semua sekatan jalan di negeri ini mengambil tidakan tegas terhadap semua yang didapati memberi alasan tidak kukuh dan melanggar PKP” katanya dalam satu kenyataan di Facebook Polis Selangor.
Selain itu, beliau yang juga Jurucakap Polis Ops Covid-19 Selangor, berkata Polis Kontinjen Selangor telah melaksanakan 89 sekatan jalan raya dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Pihak Polis turut mengambil langkah menutup 34 jalan alternatif di seluruh Selangor bagi memastikan masyarakat melalui tapisan polis ketika melakukan pergerakan.
“Pihak polis menasihati agar masyarakat sentiasa mematuhi Akta 342 Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 supaya usaha untuk membendung wabak penyakit Covid-19 yang sedang melanda negara pada ketika ini tercapai,” katanya.
-NAZ