Laporan/foto: Zayana Isa/Sh. Nurul (Kuantan)
INDERA MAHKOTA, 5 Apr (Malaysiaaktif) – Sebanyak 2,000 barangan bayi dan keperluan peribadi disumbangkan kepada penduduk di Parlimen Indera Mahkota berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan penduduk terkesan secara kewangan.
Ahli Parlimennya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata sumbangan ini diberikan kepada penduduk yang benar-benar memerlukan bantuan akibat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April ini.
“Seramai 1000 penerima akan menerima barangan bayi berupa lampin pakai buang, susu dan lain-lain keperluan serta sumbangan barangan keperluan peribadi seperti tuala wanita, lampin pakai buang dewasa dan lain-lain,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan COVID-19 Parlimen tersebut, di sini baru-baru ini.
Selain itu, Parlimen Indera Mahkota turut mengagihkan sumbangan barangan keperluan harian kepada penduduk hasil kerjasama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Kita tidak lupa juga memberikan sumbangan sebanyak 500 unit pelindung muka kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus bertugas semasa wabak COVID-19 ini,” katanya lagi.
-KN