
Laporan/foto: Mohd Yusof Abd Samad (Tangkak)
TANGKAK, 3 April (Malaysiaaktif) – Pelaksanaan operasi sanitasi awam semalam yang dijalankan di daerah Tangkak dalam usaha memerangi penularan wabak COVID-19 telah disertai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pejabat Kesihatan Daerah Tangkak, Pejabat Daerah Tangkak dan Majlis Daerah Tangkak.
Menurut Pegawai Kanan Pejabat Kesihatan Daerah, Firdaus Abdullah, operasi ini dilaksanakan bagi memutuskan rangkaian COVID-19 yang melibatkan kawasan-kawasan yang meliputi premis jabatan kerajaan dan tempat-tempat tumpuan orang awam.
“Dalam pada itu, masyarakat juga boleh melakukan sendiri sanitasi nyahkuman bagi membersihkan kawasan persekitaran rumah dengan menggunakan satu bahagian bahan peluntur yang dicampurkan dengan 10 liter air,” katanya.
Penolong Penguasa Bomba Daerah Rafia Aziz pula mengingatkan para petugas agar sentiasa menjaga keselamatan diri dan memastikan peralatan yang digunakan berada dalam keadaan yang baik.
“Para petugas yang terlibat dalam operasi ini juga perlu mematuhi langkah-langkah yang perlu diambil ketika pulang ke kediaman masing-masing sebelum mendekati ahli keluarga yang lain,” ujarnya.
Radin Hamimah, salah seorang petugas dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Tangkak, berkata pelaksanaan operasi ini sangat tepat dalam memastikan rangkaian COVID-19 dapat diputuskan dan diharap situasi ini akan cepat berakhir agar seluruh masyarakat dapat melaksanakan kehidupan seperti biasa.
Beliau memohon orang ramai supaya memberikan kerjasama sepenuhnya dengan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan rantaian jangkitan COVID-19 dapat diputuskan.
-NI-