Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

Pelindung Muka Tanda Penghargaan Kepada Barisan Hadapan

By 22 April 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/Norfazila Ahmad (Politeknik Nilai)

BANDAR ENSTEK, 21 Apr (Malaysiaaktif) – Warga Politeknik Nilai (PNS) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif menghasilkan 800 unit pelindung muka untuk diserahkan kepada petugas barisan hadapan di sini.

Pengarah PNS, Nazri Idris, berkata inisiatif bagi menghasilkan pelindung muka oleh pihaknya bersama-sama 10 orang pensyarah serta 20 orang pelajar USIM yang tinggal di kampus merupakan sumbangan kecil mereka dalam mengekang penularan COVID-19.

“Pihak kami mula terfikir untuk menghasilkan pelindung muka ini kerana berasa amat terhutang budi dengan pengorbanan barisan hadapan yang sanggup berdepan dengan risiko serta meninggalkan keluarga demi merawat pesakit COVID-19,” ujarnya.

Unit pelindung muka tersebut diagihkan dan diserahkan kepada Klinik Kesihatan Mantin dan Klinik Kesihatan Nilai yang menawarkan khidmat saringan serta rawatan kepada pesakit COVID-19.

Dalam pada itu, pelindung muka juga turut diberikan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Nilai yang bertugas di pusat kuarantin Institut Aminuddin Baki (IAB).

Sumbangan pelindung muka tersebut telah diserahkan oleh pihak PNS yang diwakili oleh pensyarah mereka, Is Aizat Shamsuri dan Yusri Yusoff kepada Leftenan APM, M. Ghazali yang mewakili APM serta Dr Adibah yang mewakili pusat kuarantin IAB.

PNS turut menyerahkan pelindung muka kepada Klinik Kesihatan Mantin yang diwakili oleh Dr Ahmad Khairuddin Razali dan Dr Ahmad Norazlan Abd Aziz.

-AK

Tinggalkan komen anda