Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

PM Umum Peruntukan Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat

By 6 April 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 6 Apr (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan peruntukan tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat berjumlah RM10 bilion bagi membantu meringankan beban rakyat terutamanya yang terjejas ketika tempoh arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikenakan ketika ini.

Menurut Muhyiddin, pakej ini diharapkan dapat membantu meringankan beban kewangan terutamanya pihak Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan juga perniagaan kecil atau mikro yang meminta kerajaan meneliti semula manfaat yang mereka terima dalam pakej rangsangan ekonomi tersebut.

“Kerajaan bersetuju menaikkan peruntukan bagi program subsidi upah kepada RM13.8 bilion daripada RM5.9 bilion seperti yang diumumkan Mac lalu iaitu pertambahan sebanyak RM7.9 bilion.

“Melalui penambahbaikan ini, syarikat-syarikat akan menerima lebih banyak manfaat dan bantuan. Bantuan ini adalah untuk selama tiga bulan dan dikhususkan kepada majikan yang telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pihak berkuasa tempatan sebelum 1 Januari 2020 dan mendaftar dengan PERKESO, kira-kira 4.8 juta pekerja dijangka akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini.

“Bagi majikan yang memilih untuk menerima bantuan ini, mereka disyaratkan untuk mengekalkan pekerja mereka sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan, iaitu dalam tempoh tiga bulan semasa menerima subsidi upah dan tiga bulan selepas itu,” katanya menerusi Perutusan Khas Pakej Prihatin PKS (Tambahan), di sini hari ini.

Muhyiddin turut menyeru organisasi pemberi pinjam wang berdaftar di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang menyediakan kemudahan kredit untuk memberi moratorium ke atas bayaran ansuran PKS selama enam bulan bermula April 2020, sepertimana yang telah diberikan oleh pihak bank.

“Saya berharap organisasi pemberi pinjam wang turut bersimpati dengan kesukaran yang dihadapi oleh pelanggan dan bersama-sama membantu meringankan beban kewangan mereka.

“Kerajaan juga akan mengambil beberapa inisiatif untuk memudahkan PKS mendapat manfaat sepenuhnya daripada semua bantuan yang telah diumumkan seperti memansuhkan kadar faedah 2% kepada 0% untuk Skim Kredit Mikro berjumlah RM500 juta di bawah Bank Simpanan Nasional.

“Skim pinjaman mudah untuk syarikat mikro ini juga dipanjangkan kepada TEKUN Nasional dengan had maksimum pinjaman sebanyak RM10,000 setiap syarikat pada kadar faedah 0% dan untuk tujuan ini, dana sebanyak RM200 juta akan disediakan, pemohon hanya boleh memilih salah satu daripada skim ini bagi membolehkan lebih ramai peniaga menikmati kemudahan ini,” tambahnya.

Tinggalkan komen anda