
Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Kemaman)
KEMAMAN, 27 Apr (Malaysiaaktif) – Penyediaan Kelengkapan Perlindungan Diri (PPE) diteruskan untuk keperluan petugas barisan hadapan Hospital Kemaman.
Menurut Rosmawati Yasin, 32, seorang suri rumah dari Kertih, beliau menggunakan kemahiran menjahit bagi membantu penyediaan PPE untuk kegunaan petugas di Hospital Kemaman memandangkan jumlah PPE di Hospital Kemaman agak kritikal sehingga ke hari ini.
“Saya menerima sumbangan kelengkapan untuk membuat PPE daripada badan bukan kerajaan dan menyahut seruan untuk menjadi sukarelawan dalam menyiapkan pakaian tersebut dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
“Setakat ini saya mampu menyediakan sebanyak 30 pasang PPE dan secara tak langsung, menjahit PPE ini menjadi rutin baharu bagi suri rumah seperti saya,” katanya yang ditemui di kediamannya, di sini baru-baru ini.
Tambah Rosmawati, ini adalah sumbangan kecilnya kepada komuniti dan berharap ia dapat memberi manfaat sepanjang barisan hadapan bertugas.
Bagi Hamidah Mohd, 45 dari Kemasik pula berkata, beliau terdetik untuk menjadi sukarelawan itu selepas diajak oleh rakan-rakannya.
“Sejak PKP dilaksanakan, banyak masa terluang di rumah dan saya ambil peluang ini untuk mengisi masa lapang saya dengan memberi sedikit sumbangan kepada petugas barisan hadapan di Hospital Kemaman.
“Mereka adalah antara barisan tulang belakang yang menawarkan khidmat dalam menyediakan keperluan PPE untuk membantu pihak petugas barisan hadapan di Hospital Kemaman.
“Semoga bantuan ini sedikit sebanyak dapat memberi semangat kepada para petugas barisan hadapan Hospital Kemaman yang bekerja kuat demi keselamatan rakyat,” katanya.
-ii-