Skip to main content
Berita TimurTerengganu

COVID-19: Kes Sembuh Daerah Dungun Meningkat

By 27 April 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mahadi Mustafa/Zulkifli Othman (Dungun)

DUNGUN, 27 Apr (Malaysiaaktif) – Memasuki hari ke-41 fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah melihatkan Daerah Dungun mencatat penurunan positif bagi kes COVID-19.

Menurut Pegawai Penerangan Daerah Dungun Rusmiza Anuar, dalam menjayakan hasrat ini pihak penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan terus melaksanakan pemantauan pada setiap tempat bagi memastikan masyarakat patuh dengan PKP, terutamanya di kawasan bandar Dungun serta kawasan yang telah dikenal pasti berisiko iaitu Kampung Teluk Lipat, Kampung Tok Kah, Kampung Sungai Buaya dan di Jalan Melati, Dungun.

 

Anggota RELA tingkatkan Kawalan di sekitar kawasan perbankan di Daerah Dungun agar pematuhan penjarakan sosial di amalkan.

Anggota RELA tingkatkan Kawalan di sekitar kawasan perbankan di daerah sini agar pematuhan penjarakan sosial diamalkan.

“Sebanyak 19 kes aktif telah dirawat berbanding 38 kes positif yang dilaporkan sebelum ini, sekali gus mencatatkan Daerah Dungun sebagai daerah tertinggi bagi bilangan kes COVID-19 di negeri ini.

“Biarpun aliran menunjukkan penurunan, masyarakat sentiasa diingatkan mengenai bahaya pandemik ini menerusi pelbagai cara dalam usaha menyuntik kesedaran dalam diri dan keluarga bagi menjayakan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seterusnya memutuskan rangkaian COVID-19 dalam komuniti,” katanya yang ditemui semasa program hebahan Jabatan Penerangan, di sini baru-baru ini.

Suasana pekan Dungun sepanjang tempoh PKP dilihat agak lengang.

Suasana pekan Dungun sepanjang tempoh PKP dilihat agak lengang.

Dalam pada itu, menurut Rusmiza, pemantauan menggunakan teknologi dron oleh pihak PDRM juga dilihat membantu mengoptimumkan pemantauan pematuhan kawalan pergerakan termasuklah pada waktu malam dan laluan tikus di sekitar daerah ini.

“Hebahan bergerak Info On Wheels (IOW) Pejabat Penerangan Daerah Dungun dipertingkatkan agar orang ramai mematuhi PKP dan penjarakan sosial, terutamanya di kawasan bandar yang menjadi tumpuan orang ramai seperti pasar awam, pasar raya dan institusi perbankan.

“Pada masa yang sama hebahan juga dibuat di kampung-kampung yang dikenal pasti berisiko bagi menyeru penduduk setempat supaya memberikan kerjasama kepada Pejabat Kesihatan Daerah Dungun untuk membuat saringan rumah ke rumah bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 ini.

Kerjasama hebahan antara Pejabat Penerangan Daerah Dungun dan Pejabat Kesihatan Daerah Dungun bagi melakukan saringan COVID-19 rumah ke rumah melibatkan kawasan berisiko yang telah dikenal pasti.

Kerjasama hebahan antara Pejabat Penerangan Daerah Dungun dan Pejabat Kesihatan Daerah Dungun bagi melakukan saringan COVID-19 rumah ke rumah melibatkan kawasan berisiko yang telah dikenal pasti.

“Penekanan hebahan juga dibuat bagi mengingatkan masyarakat agar tidak sesekali terpengaruh dengan penularan berita palsu yang boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” katanya lagi.

-ii-

Tinggalkan komen anda