Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Tiga Dron Awasi Kawasan PKPD

By 3 April 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Abassalimi Mohamad/Mohd Ruhaizad Abd Raub (Kluang)

SIMPANG RENGGAM, 3 Apr (Malaysiaaktif)Ā – Tiga buah dron akan digunakan untuk memantau tahap kepatuhan penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang akan dikendalikan sepenuhnya oleh anggota dari Bahagian Staff Perisikan Pertahanan (BSPP) Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Op Penawar bermula hari ini.

Menurut Ketua Tim Dron Op Penawar, Kolonel Abdul Razak Sipit, pemantauan akan dilakukan bermula jam 7.30 pagi hingga 10.00 malam bagi memastikan tiada sebarang pergerakan melibatkan sebarang kenderaan keluar masuk dari dalam atau luar kawasan PKPD kecuali pasukan petugas.

Kolonel Abd Razak Sipit memegang salah satu dron yang akan digunakan bagi memantau pematuhan masyarakat yang terlibat dengan PKPD.

Kolonel Abd Razak Sipit memegang salah satu dron yang akan digunakan bagi memantau pematuhan masyarakat yang terlibat dengan PKPD.

ā€œPenggunaan dron ini adalah bagi memantau pematuhan penduduk kampung untuk terus tinggal di dalam rumah masing-masing termasuk pusat-pusat perniagaan serta perkhidmatan agar mengikut setiap arahan yang telah ditetapkan.

“Malah melalui penggunaan dron juga, kita akan menyampaikan hebahan serta motivasi kepada para penduduk kampung agar mereka terus cekal menghadapi situasi sehingga tamat tempoh PKPD pada 9 April nanti,” katanya lagi ketika menyampaikan taklimat berkaitan penugasan pasukannya di Bandar Baru Ibrahim Majid, Simpang Renggam, hari ini.

Salah satu dron yang digunakan untuk membuat pemantauan di kawasan PKPD.

Salah satu dron yang digunakan untuk membuat pemantauan di kawasan PKPD.

Tambah Abdul Razak, hasil daripada pemantauan yang dilakukan malam tadi dan awal pagi ini, mendapati penduduk di kawasan PKPD serta keseluruhan penduduk di Simpang Renggam ini mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Dua yang sedang dilaksanakan.

“Selain di Simpang Renggam, kami juga merancang akan melakukan pemantauan di beberapa kawasan lain seperti di daerah Batu Pahat dan Muar.

“Setiap kali penerbangan dron dilakukan, rakaman akan dipancarkan terus secara langsung ke Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bukit Aman dan Pusat Operasi Majlis Keselamatan Negara di Putrajaya,” ujarnya.

Sarjan Udara Azuan Jamaluddin sedang memerhatikan para petugas APM mengagihkan bekalan makanan kepada penduduk yang terlibat dengan PKPD di Kampung Dato Ibrahim Majid melalui dron.

Sarjan Udara Azuan Jamaluddin sedang memerhatikan para petugas APM mengagihkan bekalan makanan kepada para penduduk yang terlibat dengan PKPD di Kampung Dato Ibrahim Majid melalui dron.

Dalam pada itu, Panglima 7 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Zawawi Adam menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan berita palsu mengenai anggota tentera menggunakan kekerasan di kawasan PKPD kerana setiap anggota akan mematuhi SOP yang telah tetapkan.

“Saya menyeru masyarakat supaya mematuhi PKP supaya wabak COVID-19 ini akan berakhir secepat mungkin dan masyarakat dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya lagi.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kluang Ismail Abu dan Yang DiPertua Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) Mohamad Sukry Abd Rahim.
-NI-

Tinggalkan komen anda