
Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/TUDM
PUTRAJAYA, 3 Apr (Malaysiaaktif) – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab sosial kepada negara apabila pesawat pengangkut A400M milik TUDM telah melaksanakan penerbangan hari ini ke Sarawak dan Sabah membawa 100 unit kotak perlindungan (aerosol box), spesimen klinikal tambahan kepada fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta keperluan peralatan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan kumpulan barisan hadapan mendepani pandemik COVID-19.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Bahagian Perhubungan Awam TUDM, kotak perlindungan sebanyak 100 unit yang dihasilkan oleh sukarelawan bekas Putera Maktab Tentera Diraja ini melalui bantuan pelbagai pihak termasuk Persatuan Bekas Putera (OPA) terdapat dalam dua jenis iaitu Intubation Type dan Sampling Type.
“Peralatan ini bertujuan menghalang transmisi titisan dari pesakit-pesakit yang berkemungkinan mempunyai virus COVID-19 berjangkit kepada petugas-petugas perubatan. OPA setakat ini telahpun menyalurkan 108 unit kepada fasiliti-fasiliti kesihatan di negeri-negeri Semenanjung Malaysia.
“100 unit ini akan disalurkan kepada fasiliti kesihatan di negeri Sarawak, manakala kotak perlindungan aerosol ini akan digunakan oleh petugas-petugas kesihatan di barisan hadapan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti terutamanya mereka yang bertugas membuat saringan, pemeriksaan dan rawatan kepada pelbagai lapisan pesakit yang datang ke fasiliti kesihatan sama ada di Klinik Kesihatan (KK), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan hospital,” menurut kanyataan itu.
Pesawat A400M dari No 22 Skuadron yang berpangkalan di Pangkalan Udara Subang telah berlepas kira-kira pukul 7.00 pagi dari Subang ke kedua-dua destinasi Sabah dan Sarawak dan diterbangkan oleh Mejar Lo Chee Sing TUDM dan dibantu oleh Kapt Mohd Erid Abd Rahim TUDM selaku pembantu juruterbang bersama lima anak kapal.