Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

360 Gelandangan Sekitar Ibu Negara Diberi Kursus dan Latihan Mulakan Kerja

By 24 Mei 2020Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 24 Mei (Malaysiaaktif) – Kira-kira 360 golongan gelandangan di sekitar ibu negara yang diselamatkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini akan diberi kursus dan latihan serta motivasi bagi memulakan pekerjaan selepas Aidilfitri ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata daripada jumlah itu 300 orang akan menjalani kursus berkenaan di Sepang, Selangor selama sebulan manakala 60 lagi dihantar ke pusat latihan di Kuantan, Pahang untuk tempoh tiga bulan dengan kos ditanggung Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Kita dapati sejumlah 60 daripada mereka ini ada sedikit masalah terutama kalau ada yang terbabit dalam pengambilan dadah dalam sejarah hidup mereka, sudah sihat dan mahu bekerja, yang memerlukan satu pemulihan jangka panjang sebab itu kita hantar ke kursus di Kuantan itu.

Bagi kira-kira 300 orang lagi, mereka yang dah terlalu lama dengan cara hidup sekarang, belum biasa hidup berjadual, berdisiplin. Kumpulan ini perlukan satu proses latihan, mereka ada potensi tetapi tak dapat dizahirkan,” katanya kepada pemberita selepas mengagihkan sumbangan raya kepada golongan itu di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia, pakar psikologi, kaunseling dan pihak kesihatan untuk memberikan latihan sistematik sebagai persediaan mereka dengan suasana pekerjaan yang memerlukan kesungguhan dan disiplin.

“Ini memakan kos sekitar RM3.4 juta kerana terpaksa sewa tempat, beri makan dan peralatan kemudahan kursus, saya rasakan penyelesaian masalah gelandangan tak boleh dibuat secara sedikit demi sedikit, mesti buat hingga mereka keluar daripada alam gelandangan dengan harapan mereka tidak kembali menjadi gelandangan,” katanya.

Kata beliau, apabila tamat kursus berkenaan sebahagian daripada mereka boleh memilih pekerjaan menerusi temu duga dan sekiranya tidak dipilih mereka akan diserap ke pasukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membantu program pengindahan dan kebersihan serta ditempatkan di asrama Desa Park, Kuala Lumpur yang sedang disiapkan.

“Yang sakit, uzur, tua dan kurang upaya kita serah pada Jabatan Kebajikan Masyarakat, ada dalam 70 hingga 80 orang, manakala bagi penagih dadah tegar kita serah pada Agensi Antidadah Kebangsaan, bagi mereka yang tiada dokumen, kita serah kepada Jabatan Imigresen,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sejumlah gelandangan yang telah diperiksa kesihatan mereka dan bebas COVID-19, telah memulakan pekerjaan seawal Ramadan lepas dan bekerja dengan baik.

Ditanya mengenai laporan gelandangan baharu dikesan di Kuala Lumpur, beliau berkata golongan berkenaan datang ke ibu kota untuk mencari kerja dan sempat bergelandangan sementara.

“Saya sedia untuk bantu mereka, kalau terpaksa bergelandangan, mereka boleh lapor diri pada DBKL, tak perlu tidur bawah jambatan. Saya dah minta DBKL wujudkan satu unit sementara untuk ambil berat isu gelandangan ini,” katanya.

Katanya, bagi mereka yang berkemampuan dan sihat boleh ditempatkan di pasar borong, lakukan kerja penyelenggaraan bangunan yang memerlukan 50 orang dengan gaji RM1,400 sebulan.

Media semalam melaporkan beberapa kumpulan gelandangan dikesan berada di sekitar ibu negara, dipercayai baharu datang ke Kuala Lumpur dari kawasan berhampiran untuk mendapatkan bantuan makanan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda