Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Umat Islam Seluruh Negara Rai Syawal Penuh Sederhana

By 24 Mei 2020Tiada komen3 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 24 Mei (Malaysiaaktif) РUmat Islam di seluruh negara menyambut ketibaan 1 Syawal hari ini dalam kebiasaan baharu ketika negara masih berperang dengan ancaman pandemik COVID-19 yang menyaksikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Aidilfitri yang kebiasaannya disambut meriah bagi meraikan kemenangan umat Islam berpuasa, kali ini diraikan penuh kesederhanaan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, antaranya mengehadkan ziarah raya hanya pada hari pertama sahaja dan tiada ziarah kubur.

Beberapa negeri tidak membenarkan solat sunat Aidilfitri diadakan di masjid dan surau, sekali gus menyaksikan ramai yang melaksanakan ibadah itu di rumah masing-masing bersama keluarga, manakala bagi negeri yang membenarkan solat sunat itu dilaksanakan, ia perlu mengikut SOP ditetapkan kerajaan.

Di SELANGOR, masjid dan surau lengang susulan arahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang tidak membenarkan solat sunat Aidilfitri diadakan tetapi umat Islam tetap meneruskan ibadah itu di rumah masing-masing berpandukan kit solat dan khutbah hari raya yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM ).

Di TERENGGANU, larangan mengadakan solat sunat Aidilfitri di surau dan masjid di negeri ini tidak menghalang rakyat Terengganu untuk melakukan solat itu bersama keluarga di rumah malah meskipun terikat dengan PKPB, kemeriahan sambutan Aidilfitri tetap dirasai.

Di PERLIS, tiada solat sunat Aidilfitri dilakukan di masjid seluruh negeri, selain semua  kawasan tanah perkuburan umat Islam ditutup. Hanya ahli jawatankuasa kariah yang terpilih sahaja dibenarkan bertakbir raya mengikut panduan yang telah disediakan oleh Jabatan Mufti Perlis melalui corong-corong pembesar suara masjid bermula selepas solat Subuh sehingga 9 pagi.

Di PAHANG, umat Islam kekal berada di kediaman masing-masing pagi ini ekoran keputusan kerajaan negeri Pahang supaya tidak diadakan solat  sunat Aidilfitri secara berjemaah di masjid pada tahun ini.

Di MELAKA, masjid-masjid negeri yang menjadi tumpuan terutama Masjid Al-Azim di Bukit Palah untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri juga sunyi kerana tiada solat diadakan sebagai langkah mengekang penularan pandemik COVID-19.

Di PULAU PINANG, umat Islam terus mematuhi PKPB dengan menunaikan solat sunat Aidilfitri di rumah masing-masing berikutan arahan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) sebelum ini agar semua masjid dan surau tidak dibenarkan mengadakan solat sunat Aidilfitri.

Di KELANTAN, tinjauan mendapati solat sunat Aidilfitri yang diadakan di Masjid Sultan Muhammad II di Telipot di sini pada 8.30 pagi hanya dihadiri oleh imam tua, imam muda, bilal dan siak tanpa kehadiran ahli jawatankuasa masjid mengikut SOP ditetapkan termasuk penjarakan sosial dan pemeriksaan suhu badan.

Di JOHOR, solat kali ini di Masjid Sultan Abu Bakar Johor Bahru yang diimamkan oleh Imam Sabaruddin Zainon turut memperlihatkan penjarakan sosial diamalkan oleh semua 12 jemaah sebagai langkah membendung penularan jangkitan COVID-19.

Di NEGERI SEMBILAN, seramai 12 jemaah yang terdiri daripada jawatankuasa masjid hadir di Masjid Negeri, Seremban bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri yang diimamkan oleh Imam 1 Masjid Negeri, Ahmad Rijal Ghazali berlangsung dengan penjarakan sosial dan tiada aktiviti bersalaman seperti kelaziman.

Di PERAK, solat sunat Aidilfitri diadakan di Pusat Penempatan Gelandangan Semasa COVID-19, di Arena Badminton Perak dan diimamkan Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kinta Kapten Muhammed Ameen Salleh Mura yang disertai 13 jemaah termasuk seorang gelandangan yang mengikuti SOP dengan menjaga penjarakan sosial.

Di KEDAH, Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata jemaah yang menunaikan solat sunat Aidilfitri di 576 masjid di negeri itu mematuhi SOP yang ditetapkan antaranya mengamalkan penjarakan sosial ketika berada dalam masjid.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda