Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Cegah COVID-19 Tanggungjawab Bersama

By 15 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rusmiza Anuar (Dungun)/Pejabat Daerah Dungun 

DUNGUN, 15 Mei (Malaysiaaktif) – Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang mengingatkan semua Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) daerah sini supaya sentiasa memantau dan menasihati ahli qariah di kampung masing-masing dalam usaha mencegah COVID-19 dalam komuniti.

“Pihak MPKK disaran supaya membuat pemantauan dan menerangkan amalan normal baharu dalam kehidupan masyarakat melalui hebahan di platform media sosial MPKK masing-masing.

Pegawai Daerah Dungun, Haji Anuar Awang mengajak semua masyarakat bersatu memerangi COVID-19 ketika ditemui baru-baru ini.

Anuar Awang mengajak semua masyarakat bersatu memerangi COVID-19 ketika ditemui baru-baru ini.

“Antara langkah pencegahan kendiri yang disarankan ialah untuk sentiasa menjaga kesihatan diri dengan amalan mencuci tangan, mengamalkan penjarakan sosial di semua lokasi awam, sentiasa memakai penutup hidung dan mulut, keluar apabila perlu sahaja dan mengelakkan sebarang aktiviti atau program keramaian dan sentiasa peka dengan arahan semasa oleh kerajaan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini.

Menurut Anuar, sekiranya terdapat ahli keluarga, masyarakat dan komuniti setempat yang tidak sihat dan mengalami gejala awal COVID-19,  Jawatankuasa MPKK perlu memainkan peranan secara aktif dengan memastikan mereka merujuk kepada pihak Klinik Kesihatan yang terdekat dan melaporkan kepada pihak berkuasa iaitu Pejabat Kesihatan Daerah atau Balai Polis Daerah terdekat sekiranya perlu.

Pejabat Penerangan Daerah Dungun mengedarkan risalah Pencegahan Coronavirus di Sekitar Paka, Dungun.

Pejabat Penerangan Daerah Dungun mengedarkan risalah Pencegahan Coronavirus di Sekitar Paka, Dungun.

“Besar harapan saya agar semua masyarakat dan komuniti serta Jawatankuasa MPKK memainkan peranan masing-masing agar penularan wabak COVID-19 dapat dibendung secara menyeluruh.

“Daerah Dungun pernah mencatatkan 38 kes COVID-19, angka tertinggi di Negeri Terengganu, namun kini tiada lagi sebarang kes yang dilaporkan, seterusnya menjadikan Daerah Dungun sebagai Zon Hijau.”

Tinjauan mendapati orang ramai mematuhi penjarakan sosial ketika berurusan di premis perniagaan dan perbankan di sekitar Bandar Dungun.

Tinjauan mendapati orang ramai mematuhi penjarakan sosial ketika berurusan di premis perniagaan dan perbankan di sekitar Bandar Dungun.

“Agensi-agensi  kerajaan yang berkaitan juga perlu memperhebatkan lagi peranan dalam  menyebar luas maklumat dan kesedaran kepada masyarakat,” katanya lagi.

-ii-

Tinggalkan komen anda