Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Selangor Benarkan Solat Jumaat Secara Berperingkat 

By 15 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Luqman Hakim (Petaling)/MSSAAS

SHAH ALAM, 15 Mei (Malaysiaaktif) – Selangor membenarkan perlaksanaan Solat Jumaat di semua masjid seluruh negeri secara berperingkat mulai hari ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shazihan Ahmad, berkata ketetapan tersebut setelah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“DYMM Sultan Selangor menerima sembah maklum keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam yang berlangsung 8 Mei lalu.

“Baginda telah berkenan dan menitahkan agar Solat Fardu Jumaat dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan ianya dapat dilaksanakan secara terkawal untuk mengekang kadar kebolehjangkitan Covid-19.

“Sultan Selangor juga prihatin dengan situasi Covid-19 di negeri ini yang masih berada dalam Zon Merah dan Kuning, malah terdapat kawasan yang terlibat dengan Perintan Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi peringkat pertama pelaksanaan solat Jumaat hari ini, Mohd Shahzihan berkata ia melibatkan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, sembilan Masjid Daerah dan lima Masjid Diraja.

“Pelaksanaan peringkat kedua pula melibatkan 24 masjid pengurusan atau naik taraf di seluruh negeri ini.

“Lain-lain masjid dan surau yang tidak mendapat kebenaran diminta kekal melaksanakan solat Zuhur pada hari Jumaat seperti ditetapkan sebelum ini,” katanya.

Menurut Shazihan, bagi perlaksanaan Solat Jumaat tersebut, hanya pegawai dan ahli Jawatankuasa masjid sahaja dibenarkan dengan tidak melebihi 12 orang termasuk Imam, Bilal dan Siak.

“Pihak pengurusan Masjid hendaklah membuat saringan suhu kepada pegawai Jawatankuasa yang hadir dan mereka yang berusia 60 tahun ke atas tidak dibenarkan untuk hadir solat di masjid,” ujarnya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda