Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 7 Mei (Malaysiaaktif) – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menjelaskan iklan jawatan kosong di Pasar Borong Selayang yang tular di media sosial khususnya aplikasi whatsapp pada hari ini adalah palsu.
Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad, berkata pihaknya ingin menafikan tentang iklan palsu berkenaan yang dilakukan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Iklan tersebut memaklumkan bahawa satu temuduga pengambilan pekerja untuk Pasar Borong Selayang akan diadakan pada 8 Mei 2020 di Dewan Sri Siantan, Jalan Sungai Tua bermula jam 2 petang.
“Untuk makluman, MPS tidak menerima dan meluluskan apa-apa permohonan untuk aktiviti temuduga pekerjaan di Dewan tersebut,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semakan yang dibuat ke atas nombor yang disertakan di dalam iklan tersebut juga didapati tidak aktif dan tidak dapat dihubungi.
“Justeru, MPS memohon orang ramai agar menghentikan penyebaran iklan tersebut agar ianya tidak menimbulkan kesulitan kepada mereka yang sedang mencari pekerjaan dan mewujudkan kekeliruan di kalangan masyarakat.
“Sebarang pengesahan maklumat berkaitan MPS, orang ramai diminta untuk melayari www.mps.gov.my dan menghubungi talian hotline MPS di 1-800-222-677 atau 03-6138 9898 untuk sebarang pertanyaan,” katanya.
-NAZ