Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

PKPD Selayang Baru Ditamatkan

By 15 Mei 2020Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 15 Mei (Malaysiaaktif) – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Selayang Baru, Gombak ditamatkan hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan memutuskan arahan PKPD di Selayang Baru telah ditamatkan.

“Saya ingin memaklumkan PKPD ketujuh di kawasan Selayang Baru tamat pada hari ini dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan saringan kepada semua penduduk yang terlibat.

“Kawasan yang terlibat adalah Zon C iaitu Jalan Besar, Jalan 1 dan Jalan Indah 21 Selayang Baru, Zon D (Jalan 3, 5, 7 dan 9 Selayang Baru), Zon E (Jalan 2, 4, 6 dan 8 Selayang Baru) dan Zon F (Blok A, B dan C Selayang Makmur,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media harian pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan enam zon di kawasan Selayang Baru di bawah PKPD bermula 25 April sehingga 3 Mei lalu.

Namun, hanya dua zon iaitu Zon A melibatkan Jalan Indah 3 dan Jalan Indah 5A Selayang Indah serta Zon B (Jalan Indah 21, Lembah Indah) ditamatkan PKPD pada 3 Mei, sementara Zon C hingga F dilanjutkan lagi tempoh PKPD sehingga 15 Mei.

Sepanjang tempoh tersebut, seramai 3,802 orang penduduk setempat termasuk warga asing disaring pihak KKM, 52 orang daripadanya positif Covid-19 dengan 36 orang adalah warga asing.

-SH

Tinggalkan komen anda