Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Tiada Had dalam Pelaporan Sidang Parlimen

By 14 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 14 Mei  (Malaysiaaktif) – Tiada had dalam pelaporan mengenai pembukaan penggal Parlimen pada 18 Mei ini walaupun hanya media rasmi dibenarkan membuat liputan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Mengulas gesaan beberapa pihak supaya organisasi media lain turut dibenarkan membuat liputan, katanya beliau percaya keputusan itu dibuat bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi dalam situasi negara masih berdepan dengan wabak COVID-19.

“Tidak bermakna bahawa ada had untuk pelaporan dibuat. Dalam dunia zaman sekarang setiap orang adalah ‘producer’.

“Kementerian tidak terlibat (dalam membuat keputusan itu), tetapi saya tidak fikir ada niat di sebaliknya,” katanya, sambil menambah sidang tersebut akan turut disiarkan secara langsung menerusi RTM.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) semalam, Saifuddin berkata ahli Dewan Rakyat juga tidak akan duduk seperti biasa bagi mematuhi penjarakan sosial, selain pegawai juga tidak akan masuk ke dalam dewan.

“Ini kerana tempat duduk yang biasa itu tidak mencukupi kerana kita mengamalkan penjarakan sosial, jadi memang ada perkara-perkara yang mempengaruhi mengapa pentadbiran Parlimen membuat keputusan itu,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan pada Jumaat lepas dilaporkan berkata kehadiran pada hari pembukaan penggal Parlimen itu dihadkan dengan hanya media kerajaan seperti RTM dan Bernama sahaja dibenarkan hadir.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda