Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin/Tengku Ahmad Fareezie (Kemaman)
KEMAMAN, 7 Jun (Malaysiaaktif) – Pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan atas urusan kerja kini boleh menarik nafas lega apabila Perdana Menteri mengumumkan bahawa pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan boleh merentas negeri bermula 1 Jun 2020 yang lalu.
Pasangan PJJ (Pasangan Jarak Jauh) terpisah dengan keluarga mereka bermula 18 Mac lalu dibenarkan berjumpa dengan suami atau isteri dan anak mereka seminggu sekali dengan syarat mesti melaporkan kepada pihak polis untuk mendapatkan kebenaran.
Dalam pada itu, kelonggaran sama turut diberikan bagi kes membabitkan hal kecemasan, kematian, perubatan dan urusan kerja.
Menurut Siti Nurhidayah Rashid, 33, dia yang bekerja di Kemaman berasa amat bersyukur apabila mendapat berita diberi kelonggaran untuk pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan untuk merentas negeri kerana kali terakhir dia berjumpa dengan suami dan anaknya di Seremban adalah pada 13 Mac yang lalu.
“Saya terpaksa reda dan akur dengan keputusan kerajaan sebelum ini untuk tidak membenarkan rentas negeri bagi menyambut Aidilfitri demi menjaga keselamatan keluarga,” ujarnya.
Bagi Nurul Fatihah Mamat, 36, yang tinggal berjauhan dengan suaminya yang berada di Johor pula merasakan tempoh PKP dan PKPB memberi ruang kepada diri untuk lebih menghargai pasangan.
“Saya berpendapat bahawa tempoh PKP ini memberi satu kesedaran untuk merapatkan kembali hubungan contohnya dengan membuat perubahan sikap.”
“Sebelum ini, kita terlalu sibuk dengan kerja masing-masing. Ketiadaan satu sama lain dalam tempoh yang lama membuatkan kita lebih menghargai antara satu sama lain,” katanya.
Tambah beliau, golongan suami juga boleh merasai betapa sukarnya seorang isteri menguruskan anak serta memasak untuk keluarga dalam masa yang sama terikat dengan kerja.
Bagi Muhammad Farid Muhammad Hashim, 31 tahun seorang pekerja swasta di Kertih yang berjauhan dengan isterinya yang berada di Kuala Lumpur berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi kelonggaran kepada pasangan yang berjauhan untuk bertemu kembali.
Dia yang baru mendirikan rumahtangga pada awal tahun ini berharap dapat bertemu kembali dengan isterinya setelah hampir tiga bulan terpisah dalam tempoh PKP akibat pandemik COVID-19.
“Tempoh PKP ini memberi satu kesedaran kepada kita untuk mengharungi dugaan dan cabaran ini secara bersama dengan matang, sabar dan tenang,” ujarnya mengakhiri perbualan.
-ii-