
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 20 Jun (Malaysiaaktif) – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak melupuskan barangan kes melibatkan VCD dan DVD lucah serta peralatan seks bernilai RM74,965.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata barang kes tersebut merupakan rampasan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Gombak.
“Sebanyak 14,993 keping VCD dan DVD lucah dilupuskan melibatkan 29 kertas siasatan bagi tahun 2011, 2012 dan 2019 yang telah selesai.
“Ianya termasuk 521 barangan peralatan seks yang dirampas pada tahun 2016 yang telah selesai dan semuanya bernilai RM74,965,” katanya semasa sidang media selepas menyaksikan proses pelupusan barang kes di padang kawad IPD Gombak, semalam.

Arifai (empat dari kanan) melihat barangan peralatan seks yang dilupuskan di padang kawad IPD Gombak.
Turut hadir, Majistret Gombak, Nik Mohd Fadli Nik Azlan serta wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Dalam perkembangan sama, Arifai memaklumkan sebanyak 42 kes penipuan atas talian mencecah kerugian RM7,427,971 sehingga Jun tahun ini.
“Penipuan berkenaan melibatkan kegiatan seperti macau scam, belian atas talian dan pinjaman tidak wujud.
“Jumlah tersebut meningkat berbanding sepanjang tahun 2019 yang mencatatkan sebanyak 38 kertas siasatan dan kerugian hanya RM908,000.
“Sepanjang tempoh 2019 juga, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Gombak berjaya menahan 90 orang melibatkan 87 kertas siasatan dan telah dituduh,” katanya.
Katanya, sehingga Jun tahun ini pihaknya berjaya menahan 40 orang melibatkan 38 kertas siasatan.
“Mereka yang ditangkap berumur 20 hingga 50 tahun merupakan pemilik akaun dan akan didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan kerana mengalih atau menyembunyikan harta secara tidak jujur.
“Mereka yang disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedu-duanya.
“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah tertipu, sekiranya terdapat sebarang perkara atau penggilan yang meragukan boleh menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Gombak 0362162222,” katanya.
-SH