
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)/Johor Corporation
KOTA TINGGI, 25 Jun (Malaysiaaktif) – Johor Corporation (JCorp) telah mengenal pasti pelaburan bernilai RM17.4 bilion untuk dibawa masuk ke Taman Perindustrian Pengerang (PIP) yang akan menjadi hab pemprosesan produk hiliran berasaskan minyak dan gas (O&G) utama di rantau ini.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh JCorp, pelaburan itu antara lain melibatkan operasi kompleks aromatik, loji petrokimia serta perkhidmatan sokongan berkaitan perindustrian O&G.
“Antara produk yang akan dihasilkan ialah bahan mentah dalam bentuk cecair dan pellet untuk pengilang pelbagai barangan plastik bagi keperluan industri seperti beg plastik industri, komponen kereta, cat, cecair penyejuk enjin dan gentian sintatik selain produk keperluan pengguna,” menurut kenyataan tersebut yang dikeluarkan selepas taklimat pembangunan PIP bersama Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali, di sini baru-baru ini.

Industri di Taman Perindustrian Pengerang (PIP) yang dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada 2023, dijangka mewujudkan ribuan peluang pekerjaan separuh mahir mahupun sokongan.
JCorp berkata, pihaknya menganggarkan nilai pembangunan kasar (GDV) projek PIP menerusi empat fasa pembangunannya itu sebanyak RM1.27 bilion.
“Industri PIP yang dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada 2023, dijangka bakal mewujudkan ribuan peluang pekerjaan separuh mahir dan sokongan.
“JCorp selaku agen pembangunan dan pelaburan sentiasa seiring dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan zon Timur Johor sebagai hab industri O&G utama di rantau ini,” tambah kenyataan itu.
Setakat ini, kemajuan kerja-kerja penyediaan platform bagi pembangunan projek PIP di tapak seluas 790 ekar itu telah mencapai 77 peratus.
“Dengan memiliki kelebihan yang strategik, JCorp yakin PIP dan RAPID mampu dipertingkat dan diperkukuhkan sebagai destinasi pelaburan serta hab industri O&G menerusi kerjasama berterusan Kerajaan Negeri dan Persekutuan,” kata syarikat itu.
Turut hadir pada sesi taklimat, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, delegasi Ahli Jawatankuasa Pelaksana Projek-Projek Kerajaan Persekutuan (FPSC) Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) dan pegawai kanan kerajaan negeri.
-NI-