Laporan/foto: Luqman Hakim (Petaling)
SHAH ALAM, 25 Jun (Malaysiaaktif) – Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti pencerobohan tanah milik Kerajaan (simpanan sungai) di Jalan Masyhur 25/50 Sri Muda Sekyen 25, Shah Alam.
Ketua Penolong Pegawai Daerah Klang, Mohd Shahrizal bin Mohd Salleh, berkata tindakan penguatkuasaan itu dijalankan setelah menerima aduan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta orang awam berkenaan isu tersebut.
“Susulan keengganan pemilik struktur untuk mematuhi notis pengosongan yang telah dikeluarkan, PDT Klang mengambil tindakan meroboh struktur.
“Operasi ini dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang melibatkan 150 pegawai,” katanya ketika ditemui selepas operasi hari ini.
Shahrizal berkata, isu ini telah dibawa di peringkat Negeri iaitu Jawatankuasa Hal Ehwal selain Islam yang telah meluluskan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan hari ini.
“Tindakan operasi pada hari ini berlangsung dengan cermat dan santun serta mendapat kerjasama daripada semua pihak termasuk pemilik kuil.
“Orang ramai diingatkan bahawa sebarang pencerobohan tanah kerajaan ataupun pendudukan tidak sah merupakan satu kesalahan dibawah seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965.
“Sekiranya disabit kesalahan, tindakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
-NAZ