Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Kemaman)
KEMAMAN, 25 Jun (Malaysiaaktif) – Seramai empat juta atau 52.2 peratus pengguna domestik dengan bil elektrik sebulan kurang RM77 atau penggunaan bawah 300kWj akan menikmati bekalan elektrik percuma selama tiga bulan di bawah Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan.
Pengumuman dibuat oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah setelah menerima aduan pengguna berhubung kenaikan bil elektrik sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tiga bulan yang lalu menyatakan bahawa pengguna yang terlibat akan mendapat bekalan elektrik percuma bagi bulan April, Mei dan Jun yang akan dikreditkan dalam bil bulan Julai.
Menurut seorang ibu tunggal, Rodzinani Ali, 44, dari Paya Berenjut berkata, dia amat bersyukur, terharu dan berterima kasih kepada kerajaan apabila mendengar pengumuman yang telah dibuat oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli.
“Ini menunjukkan betapa kerajaan begitu prihatin dan mendengar keluhan rakyat, terutamanya golongan sasar B40,” ujarnya.
“Keputusan ini juga mampu meringankan beban golongan B40. Sebagai seorang tukang jahit yang mempunyai pendapatan tidak menentu dalam tempoh PKP baru-baru ini, pendapatan saya agak terjejas dan saya sangat terkejut apabila menerima bil elektrik melambung,” kata Aklima Ngah, 49, pula.
Bagi Mohd Azmi Mat Jusoh, 55, seorang kakitangan awam pula, Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan ini amat berguna kepada seluruh rakyat, terutamanya bagi golongan sasar B40 kerana ia membantu dalam meringankan beban rakyat.
Dalam pada itu juga, Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut bersetuju untuk menghentikan aktiviti pemotongan bekalan elektrik sehingga 30 September ini.
Ia adalah antara usaha kerajaan meringankan beban pengguna yang menghadapi kesukaran kewangan dalam tempoh PKP susulan krisis COVID-19.
-ii-