
Laporan/foto: Malini Md Yunos/Sapar Sutir (Rembau)
REMBAU, 24 Jun (Malaysiaaktif) â Masyarakat di kawasan Kota dan Kendong, di sini dilihat amat berdisiplin dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerana mereka sedar akan bahaya wabak COVID-19 yang melanda negara ketika ini.
Tinjauan yang dijalankan oleh Pejabat Penerangan Daerah Rembau semalam mendapati orang ramai mengamalkan kawalan kendiri yang tinggi di mana mereka sentiasa mengamalkan penjarakan sosial satu meter, menggunakan pelitup separuh muka apabila berada di luar selain menggunakan pensanitasi tangan seperti yang disyorkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Peniaga juga membuat tanda khas bagi menandakan jarak yang perlu diikut oleh pelanggan perniagaan dan amalan ini dipatuhi sebaiknya mereka.
Menurut Kasimah Ali, 37, beliau dan keluarga sentiasa mengikuti langkah kawalan kendiri kerana bimbang akan kondisi kesihatan mereka.
“Kami sentiasa mengikuti langkah kawalan kendiri yang tinggi dengan menjaga kebersihan diri setiap masa menggunakan pelitup separuh muka serta mandi apabila selesai berurusan di luar untuk memastikan keselamatan diri dan anggota keluarga selamat dari dijangkiti virus COVID-19 ini,” ujarnya ketika ditemui semasa berurusan di Pusat Perniagaan Medan Mara, Kendong.
Pengusaha kedai gunting rambut, Imran, 59, berkata selepas kerajaan membenarkan khidmat gunting rambut beroperasi beliau terus merujuk dan membuat semakan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi bagi memastikan mereka tidak melanggar syarat yang ditetapkan.
“Saya sentiasa mengamalkan kebersihan kedai mengikut SOP yang ditetapkan dengan menggunakan apron pakai buang plastik bagi setiap pelanggan, mengambil suhu badan dan mencatat rekod, saya juga akan menggunakan pelindung muka, sarung tangan plastik dan menyembur pembasmi kuman pada peralatan gunting semasa mula dan akhir penggunaan demi menjaga kesihatan dan keselamatan pelanggan dan juga diri saya sendiri,” ujarnya.
Melalui program Info On Wheels (IOW), Pejabat Penerangan Daerah Rembau diketuai Pegawai Penerangan Daerah, Malini Md Yunos telah membuat edaran risalah dasar-dasar kerajaan dan poster COVID-19 serta turut membuat hebahan melalui unit bergerak agar masyarakat mematuhi sepenuhnya usaha memutuskan rantaian COVID-19.
-AK