
Laporan/foto: Nurhasnani Abdul Wahab (Melaka)/FB Rasmi Sulaiman Md Ali
MELAKA, 24 Jun (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Melaka menyambut baik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebagai strategi keluar (exit strategy) Kerajaan Persekutuan dalam mendepani pandemik COVID-19.
Selaras dengan tempoh pelaksanaan PKPP, hampir keseluruhan sektor ekonomi termasuk di negeri Melaka telah dibenarkan untuk beroperasi dengan syarat perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia. Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali dalam Amanat Penjawat Awam bulan Jun 2020 yang disampaikan secara langsung dari laman Facebook rasminya pagi semalam.
“Penjawat awam negeri dan Persekutuan di Negeri Melaka yang menjadi benteng utama atau tulang belakang pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dapat membantu menyebarluaskan segala maklumat, polisi serta dasar terkini kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan kepada masyarakat dengan penuh bertanggungjawab dan berintegriti.
“Hal ini amat penting agar masyarakat khususnya di negeri Melaka dapat memperoleh segala maklumat, polisi dan dasar yang telah diluluskan itu secara tepat, sahih, lengkap dan terkini, sekali gus ia dapat mengelak masyarakat daripada disajikan dengan maklumat dan informasi tidak tepat, palsu, tidak lengkap atau yang sengaja diputar belitkan untuk kepentingan pihak tertentu,” katanya.
Beliau dalam pada itu berharap semua penjawat awam di negeri Melaka ini dapat menjadi suri teladan (role model) kepada anggota masyarakat khususnya dalam membudayakan amalan norma baharu iaitu iaitu sentiasa memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan dengan bahan pembasmi kuman dan penjarakan sosial.
-KN