
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 24 Jun (Malaysiaaktif) – Kes COVID-19 mencatatkan satu angka dengan tiga kes baharu yang hanya melibatkan penularan tempatan.
Kes baharu itu mencatatkan angka antara paling rendah selepas hanya dua kes baharu pada 10 Jun lepas selain tiada kematian dicatatkan, menjadikan jumlah maut akibat wabak itu kekal 121 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes baharu itu, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 8,590 kes.
“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 283 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
“Semua kes baharu yang dilaporkan hanya kes penularan di dalam negara, iaitu dua kes bukan warganegara dan satu kes warganegara manakala tiada kes import dilaporkan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Memperincikan kes baharu itu, Dr Noor Hisham berkata satu kes adalah daripada kluster Pedas di Negeri Sembilan yang melibatkan bukan warganegara, dan dua lagi kes daripada kluster MDR (mati di rumah) yang membabitkan seorang warganegara dan seorang bukan warganegara yang juga ahli keluarga kepada kes ke-8,506.
Beliau berkata, sembilan kes pulih dan dibenarkan discaj dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya ialah 8,186 kes atau 95.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Sehingga kini, tiga kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.
Susulan pembukaan sekolah bagi pelajar peperiksaan awam dan antarabangsa setara hari ini, Dr Noor Hisham turut mengingatkan agar ibu bapa, pelajar dan pegawai sekolah bekerjasama bagi memastikan tidak berlaku penularan COVID-19 di sekolah.
“Pembukaan sekolah adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang disediakan. Patuhi garis panduan termasuklah mengamalkan kebersihan kendiri yang tinggi dan penjarakan sosial yang selamat sepanjang masa di dalam mahupun di luar kawasan sekolah,” katanya.
— BERNAMA