Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

JAS Periksa 5,439 Kilang, 330 Dikenakan Tindakan Sejak PKP

By 23 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/JAS

RAWANG, 23 Jun (Malaysiaaktif) – Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah memeriksa 5,439 kilang sejak dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac lalu.

Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar, berkata daripada jumlah tersebut sebanyak 330 dikenakan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Ianya merangkumi tempoh PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) sehingga 22 Jun.

“Tindakan penguatkuasaan ke atas pelbagai kesalahan seperti tidak label buangan berjadual, tidak mematuhi peraturan buangan berjadual dan udara bersih,” katanya.

Beliau berkata, JAS juga dapat mengesan kilang yang mencemarkan sumber air ketika tempoh PKP dilaksanakan dan telah diambil tindakan.

“JAS telah menahan tiga lesen (operasi) kilang kelapa sawit setelah didapati mencemarkan sumber air.

Antara kilang yang dikenakan penahanan operasi oleh JAS kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Walaupun dalam tempoh PKP, pihak kami masih menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan sumber air mentah tidak tercemar sehingga menjejaskan kehidupan masyarakat,” jelasnya.

Sementara itu, Norlin berkata JAS telah melaksanakan Operasi Gempur (Ops Gempur) Selangor secara berperingkat pada 16, 18 dan 23 Jun.

“Ops Gempur Selangor dilaksanakan dengan menfokuskan 118 kilang di kawasan Sepang, Kuala Langat, Hulu Langat, Gombak dan Hulu Selangor.

Norlin (kanan) ketika sidang media di Taman Industri Integrated Rawang, hari ini.

“Sebanyak 124 tindakan ke atas 49 kilang yang didapati melakukan kesalahan merangkumi 22 Notis Arahan, 97 Tawaran Kompaun, tiga penahanan operasi serta dua kertas siasatan dibuka.

Operasi ini dijalankan dengan mematuhi Prosedur Tetap Operasi (SOP), arahan dan langkah-langkah keselamatan atau kesihatan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Ops Gempur di Taman Industri Integrated Rawang, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAS, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar; Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAS, Shafie Mohd Yassin dan Pengarah JAS Selangor, Noraziah Jaafar.

-NAZ

Tinggalkan komen anda