
Laporan/foto: Zurina Saad/Othman Ariff (Yan)
YAN, 22 Jul (Malaysiaaktif) – Bermula dengan sekadar hobi pada zaman kanak-kanak telah mendorong Haris Fadillah Abd Aziz, 37, mengkomersialkan perniagaan ikan laga kampung sebagai sumber pendapatan utama di Kampung Raga, di sini sejak enam tahun lalu.
Sehingga kini beliau mempunyai lebih daripada 200 ekor ikan laga tersedia untuk dipasarkan dengan harga pasaran bermula RM15 sehingga mencecah RM200 seekor bergantung kepada saiz, bentuk sirip, bentuk ekor dan sisiknya.
Menurut Haris Fadillah, ikan laga kampung ini mempunyai peminatnya yang tersendiri dan beliau turut mengekspot ke negara Thailand, Laos dan Indonesia. Sehingga kini pendapatannya mencecah RM1000 seminggu bergantung kepada permintaan dan pasaran ikan.
“Bagi saya ikan laga kampung ini tidak memerlukan modal yang tinggi, sekadar minat yang mendalam, sedikit pengetahuan dan usaha sudah memadai,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.
Menurut Haris, beliau mendapatkan ikan-ikan ini di paya dan alor-alor terbiar di kawasan sekitar.
“Ikan laga ini mudah membiak di habitat terbiar yang airnya sentiasa bertakung.
“Mudah untuk saya kenal pasti tempat pembiakan ikan ini, iaitu hanya dengan memerhati buih-buih di permukaan air, sekiranya terdapat buih-buih halus, maka di situ pastinya terdapatnya ikan dan saya hanya menggunakan penyauk untuk mendapatkan ikan tersebut,” katanya.
Di samping itu Haris menjelaskan beliau turut menjalankan pembiakan sendiri ikan laga di rumahnya.
“Induk jantan yang matang akan menghasilkan buih dan proses mengawan akan berlaku dan induk betina akan melepaskan telur.
“Induk betina akan dikeluarkan dan induk jantan akan bertindak sebagai penjaga telur sehingga menetas, dan setelah usia anak ikan seminggu, induk jantan pula akan diasingkan supaya induk ini tidak merosakkan anak-anak yang baru menetas.
“Hayat ikan laga boleh menjangkau sehingga empat tahun sekiranya diberi penjagaan yang rapi dan dari segi pemakanan ikan ini hanya memakan kutu air, cacing dan jentik-jentik sahaja selain daripada air yang perlu ditukar tiga hari sekali,” katanya.
Selain daripada menjalankan perniagaan ikan laga kampung, beliau turut menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan dan pernah dinobatkan sebagai Grand Champion Wild Imbellis yang berlangsung di Johor Bahru dua tahun lalu.
Beliau bercita-cita untuk mengembangkan lagi perniagaan ikan laga kampung ke pasaran antarabangsa dan turut berhasrat untuk melatih anak-anak muda yang berminat dalam pembiakkan ikan laga ini pada masa akan datang.
-SH