
Laporan/foto: Mohd Shaharudin Suratman (Seremban)
SEREMBAN, 2 Jul (Malaysiaaktif) – Menonton filem bukan sahaja dapat mengisi masa lapang dan mengurangkan tekanan tetapi mesej yang disampaikan melalui sesebuah filem dapat memberi inspirasi serta mendidik masyarakat dengan menerapkan nilai-nilai murni dan tauladan yang baik.
Bagi pemandu teksi, P. Raveendran, idea untuk membantu wanita hamil timbul setelah beliau menonton filem tamil berjudul ‘Baasha’s’ dimana filem yang dilakonkan oleh bintang popular Rajinikanth tersebut telah menawarkan perkhidmatan teksi percuma kepada wanita yang ingin ke hospital untuk melahirkan anak.
Beliau yang telah memulakan kerjaya sebagai pemandu teksi sejak tahun 2016, bertekad untuk mencontohi tauladan melalui filem tersebut dengan menawarkan perkhidmatan teksi percuma kepada wanita hamil dan ibu yang mempunyai anak kecil di sekitar daerah Seremban.
Menurut Raveendran, walaupun memperolehi pendapatan yang tidak menentu terutama ketika pasca COVID-19 ini, namun beliau tetap meneruskan hasrat tersebut dan kelibat beliau memandu teksi dengan pelekat yang tertera ‘Free For Pregnant Ladies And Mom Who Carrying Baby’ sentiasa menjadi tumpuan masyarakat sekitar sini.
“Hidup ini bukanlah hanya berkisarkan tentang wang sahaja, walaupun ada hari yang saya hampir tidak ada pelanggan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun hati saya tetap gembira untuk menawarkan perkhidmatan teksi secara percuma kepada mereka yang memerlukan, inilah sumbangan yang dapat saya berikan kepada masyarakat setempat tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama, dan saya akan teruskan selagi saya mampu.
“Ramai kawan yang mengatakan saya hilang akal dan pasti ada individu yang akan mengambil kesempatan atas usaha saya ini, namun saya tetap teruskan niat ini kerana bagi saya ucapan terima kasih yang diterima lebih bermakna buat diri saya,” ujarnya.
Kini, beliau telahpun 18 bulan menjalankan usaha murni tersebut dan berharap akan ada lebih ramai lagi rakan-rakan pemandu teksi akan turut serta menawarkan perkhidmatan seumpama ini kepada yang memerlukan dalam usaha melahirkan masyarakat yang prihatin dan saling mengambil berat.
-AK