Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Caj Letak Kenderaan Berkupon Bermula

By 2 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Khairul Annuar Zulkernain (Alor Gajah)/Facebook MPAG

ALOR GAJAH, 2 Jul (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Melaka mengumumkan bahawa penguatkuasaan kutipan caj letak kenderaan diadakan semula mulai 1 Julai setelah lebih 3 bulan tiada kutipan caj di negeri Melaka disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.

Menurut kenyataan rasmi Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini telah digerakkan untuk melaksanakan penguatkuasaan serta memaklumkan orang ramai tentang perkara ini.

“Kutipan hanya akan diadakan pada setiap hari Rabu hingga Ahad mulai pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Caj letak kenderaan ini juga dikecualikan pada hari Isnin, Selasa dan cuti umum berbanding pengecualian pada hari Sabtu dan Ahad sebelum ini.

“Setiap pengguna kenderaan diminta untuk menggunakan kupon yang sah ataupun aplikasi SmartParking negeri Melaka. Selain itu, pengguna juga diminta untuk mematuhi peraturan seperti tidak meletak apa-apa halangan di dalam petak letak kenderaan dan tidak meletak kenderaan luar daripada petak yang telah disediakan serta tidak menghalang laluan awam,” menurut kenyataan itu.

Pelaksanaan semula penguatkuasaan caj letak kenderaan ini membantu kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk menampung sumber kewangan kerajaan disebabkan bilangan pengunjung luar ke negeri ini yang bertambah terutama pada waktu hujung minggu.

“Sehubungan itu, kerajaan mempunyai dana untuk membina infrastruktur dan melaksanakan program yang dapat memberi kebaikan kepada rakyat dan orang ramai. Selain itu, ia dapat mendisiplinkan pengguna dalam mematuhi peraturan jalanraya dan undang-undang setempat,” menurut kenyataan itu lagi.

-KN

Tinggalkan komen anda