Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Penembusan Terakhir Mesin Pengorek Terowong bagi MRT Laluan Putrajaya

By 18 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 18 Jul (Malaysiaaktif) – MRT Laluan Putrajaya (sebelum ini dikenali sebagai MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya) hari ini menyaksikan penembusan terakhir mesin pengorek terowong di tapak Stesen MRT Ampang Park.

Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Datuk Mohd Zarif Hashim berkata ia merupakan pencapaian penting bagi projek itu dan juga menunjukkan laluan itu telah mencapai kemajuan 98 peratus siap.

“Penembusan mesin pengorek terowong menyelesaikan kerja penggalian dan menembusi dinding serta memecah masuk ke dalam kekotak stesen atau syaf,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mesin pengorek terowong atau kod TBM 774 yang terlibat itu dilancarkan pada 2019, memulakan kerja dari tapak Stesen MRT Conlay dengan menggali sebahagian daripada terowong di bawah Jalan Stonor, Persiaran KLCC, Jalan Binjai dan Jalan Ampang serta terowong Laluan LRT Kelana Jaya ke tapak Stesen MRT Ampang Park sejauh 917 meter.

MMC Gamuda merupakan kontraktor serah kunci pembinaan MRT Laluan Putrajaya. Susulan kejayaan itu, penggalian terowong untuk MRT Laluan Putrajaya mencapai kemajuan 98 peratus siap dengan hanya tinggal kurang daripada 400m jarak terowong dan dijangka siap pada bulan hadapan, katanya.

Jelasnya, baki bahagian ini sedang dikorek oleh mesin pengorek terowong terakhir daripada 12 mesin pengorek terowong yang digunakan untuk projek itu.

MRT Laluan Putrajaya merupakan laluan kedua di bawah Projek MRT Lembah Klang dan akan mempunyai 36 stesen, dengan sembilan daripadanya adalah stesen bawah tanah. Keseluruhan jajaran adalah sepanjang 56.2 km dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda