Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Dari Bidang Pastri ke Pertanian Moden

By 18 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Alor Setar)

BALING, 18 Jul (Malaysiaaktif) – Menyambung legasi daripada perusahaan pertanian arwah ayahnya yang terletak di Kampung Lubuk Kabu, Kuala Pegang di sini, seorang anak muda Mohamad Amirul Ashraf Abd Halim, 26, mengambil cabaran meneruskan legasi perusahaan tersebut, dan kini telah lima tahun anak muda ini mengusahakan ladang tanaman sayuran.

Menurut Amirul, sebelum bergelar petani dirinya menuntut di Kolej Komuniti Baling dalam bidang pastri sebelum bekerja di luar negara.

“Akhirnya saya nekad pulang kampung halaman bagi meneruskan bidang pertanian arwah ayah yang telah berjaya menghasilkan pelbagai jenis tanaman ketika itu.

“Bagi saya walaupun semasa belajar kita mengambil sesuatu bidang lain tidak semestinya dalam pekerjaan kita perlu bekerja dalam bidang yang sama, dan sebagai anak muda yang ingin berjaya kita perlu berani mencuba sesuatu bidang lain,” katanya ketika ditemui di kebunnya, di sini baru-baru ini.

Hasil tanaman sayur yang diusahakan Amirul Ashraf di kebun sayur miliknya.

Hasil tanaman sayur yang diusahakan Amirul Ashraf di kebun sayur miliknya.

Lebih membanggakan hasil tanaman pada tanah seluas 20 relung ini, Amirul mampu mengutip hasil tanaman setiap hari sebanyak 400 hingga 500 kilogram dengan dibantu oleh lima pekerjanya, dan hasil tanaman akan dibawa ke kawasan Baling, Padang Serai dan Kuala Ketil.

“Saya bersyukur sekali kepada Jabatan Pertanian kerana telah memberi pelbagai bantuan kepada saya bagi meneruskan bidang pertanian yang saya ceburi ini, antara bantuan yang saya telah terima seperti jentera tanah, sistem perpaipan, anak benih, baja dan bantuan mesin.

“Terdapat dua jenis sayuran yang ditanam iaitu jenis berdaun seperti kangkung, sayur sawi, bayam hijau dan bayam merah manakala untuk tanaman berbuah kita ada labu air, bendi, petola dan terung. Setakat ini pendapatan bersih yang saya dapat setiap bulan paling kurang RM4,000 hingga RM5,000 sebulan,” katanya.

Beliau berkata keluarga dan rakan-rakan juga banyak memberi kata-kata semangat dan dorongan kepadanya untuk meneruskan bidang pertanian ini.

“Saya tidak peduli segala tohmahan orang di luar sana, kerana ia akan hanya membuatkan saya lagi bersemangat dan berhasrat untuk membuka sebuah lagi ladang tanaman sayuran dalam masa terdekat ini,” tambahnya.

-SH

Tinggalkan komen anda