Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPerak

Pengorbanan Pahlawan Jamin Kedaulatan Negara

By 31 Julai 2020Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Ipoh)/Gambar fail

IPOH, 31 Jul (Malaysiaaktif) – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah penduduk negara ini dapat menjalani penghidupan dalam suasana aman dan sentosa kerana keberkesanan para anggota tentera dan polis menjalankan tugas yang diamanahkan.

“Dalam menjunjung amanah mempertahankan kedaulatan kemerdekaan negara dan dalam memenuhi tanggungjawab memulihara keamanan negara, ramai anggota tentera dan polis yang terkorban, ramai yang kehilangan nyawa, ramai pula yang cedera,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Sambutan Aidiladha dan Memperingati Hari Pahlawan di Kem Syed Putra, Jalan Tambun, di sini hari ini.

“Aidiladha pada tahun ini dirayakan pada tarikh yang ditetapkan oleh negara sebagai Hari Pahlawan, hari untuk menghargai jasa dan pengorbanan para anggota Pasukan Pertahanan dan Pasukan Keselamatan, terutama mereka yang terkorban ketika bertugas.

“Beta dan rakyat yang mengutamakan keamanan, amat menghargai pengorbanan setiap anggota tentera dan setiap anggota Polis Diraja Malaysia,” titah baginda.

Baginda turut menitip doa agar pengorbanan mereka diterima sebagai amal makruf yang diberikan ganjaran dunia dan akhirat selain menzahirkan rasa penghargaan dengan memberikan tepukan penghormatan kepada para anggota tentera dan Polis Diraja Malaysia.

-SH

Tinggalkan komen anda