
Laporan/foto: Mastika Hablum (Melaka)
MELAKA, 6 Jul (Malaysiaaktif) – Berkonsepkan identiti rumah tradisional Melayu Asli Negeri Melaka, Projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) di Jasin Bestari kelihatan unik pada bumbungnya.
Pembinaan rumah teres setingkat tradisional Melaka Fasa satu itu telah terjual sebanyak 264 unit dan telah diduduki oleh pemilik yang terdiri daripada penjawat awam secara berperingkat bermula November tahun lalu.
Menurut Pengarah Urusan Homewise Construction Melaka Sdn Bhd, Datuk Tai Chew Ming, pihak pengurusannya telah berbincang di peringkat dalaman terdahulu bagi mengenal pasti cara untuk mengekalkan warisan di negeri ini agar kekal sepanjang zaman.
“Maka terjadilah sentuhan idea dan rekaan dari pereka dalaman kami, S. K Tan yang secara langsung memberi fokus lain dari yang lain iaitu kepada bumbungnya yang boleh memberi impak besar secara warisan turun temurun di Melaka,” ujarnya.
Projek Perumahan Fasa Kedua berkonsepkan moden sebanyak 282 unit juga telah terjual kepada penjawat awam dan bakal diduduki pada Julai tahun ini. Bagi Projek Perumahan Fasa ketiga permohonan MyHome kepada penjawat awam hanya ditawarkan sebanyak 64 unit sahaja manakala selebihnya dibuka kepada orang awam dengan harga jualan RM 268,000.
PPAM Jasin Bestari yang bakal dinamakan Taman Bestari oleh Pihak Berkuasa Tempatan menjadi salah satu agenda Lawatan Kerja ke Negeri Melaka oleh Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamarudin selama 2 hari, baru-baru ini.
Di Jasin khususnya, beliau membuat lawatan ke Tapak Projek Rumah Mampu Milik PERTAM, Tapak Baru Pasar Jasin serta Balai Bomba Jasin.
-KN