
Laporan/foto : Musliha Yusof/Mohd Najib Mohaini (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 28 Jul (Malaysiaaktif) – Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada tahun ini berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya berikutan daripada pandemik COVID-19 yang sedang melanda seluruh dunia.
Menteri Besar Datuk Hasni Muhammad dalam ucapannya berkata semua rakyat di negeri ini diminta agar terus mengamalkan norma baharu bagi mengawal dan memutuskan penyebaran wabak COVID-19.
“Mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan oleh kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah satu perjuangan kerana musuh kita pada hari ini tidak kelihatan.
“Walaupun pada tahun ini tiada perarakan dan perhimpunan bagi sambutan Bulan Kebangsaan, namun semangat patriotisma perlu dizahirkan melalui kibaran Jalur Gemilang yang dipasang di rumah, premis dan kereta,” katanya lagi ketika ditemui pada majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 Peringkat Negeri Johor di perkarangan Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, pagi tadi.

Perdana Menteri mengajak rakyat menyuburkan semangat patriotisma dengan perasaan cinta yang mendalam terhadap Negara.
Pada majlis itu, Hasni turut melepaskan konvoi Info On Wheels Merdeka anjuran Jabatan Penerangan negeri yang akan menjelajah ke seluruh negeri bagi membuat hebahan dalam menggelorakan lagi Bulan Kebangsaan.
Kemunculan Jimi yang merupakan maskot SUKMA XX Johor 2020 juga turut menceriakan sambutan pada pagi ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya semasa Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 pagi tadi, berpesan supaya semangat Malaysia Prihatin disemarakkan segenap segi kehidupan masyarakat, bukan sahaja dalam usaha menamatkan wabak COVI-19, sebaliknya memulihkan semula ekonomi dan kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik.
“Malaysia Prihatin perlu kita semat dalam ingatan untuk kita mengukuhkan kembali asas-asas perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
“Saya percaya perasaan cinta kepada Negara inilah yang boleh menjadi tali pengikat utama kepada perpaduan bangsa di Negara ini,” katanya.
-NI-