
Laporan/foto: Wee Kim Been (Kota Bharu)
KOTA BHARU, 28 Julai (Malaysiaaktif) – Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kelantan 2020 anjuran Jabatan Penerangan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan berjaya disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob di Dataran Kompleks Kota Darulnaim, di sini.
Menurut Ahmad Yakob, pelancaran kempen ini dilaksanakan serentak seluruh Malaysia pada tarikh dan waktu yang sama.
“Tema sambutan pada tahun ini ialah ‘Malaysia Prihatin’ membawa pengertian seluruh rakyat Malaysia berganding bahu memerangi COVID-19, samada penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan mahupun perseorangan.
“‘Prihatin’ pula mewakili keprihatinan kerajaan dalam mengutamakan kesejahteraan serta kebajikan rakyat melalui pelbagai inisiatif pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat (PRIHATIN) yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan bagi kelangsungan hidup rakyat Malaysia,” katanya.

Acara penyampaian Jalur Gemilang oleh Ahmad Yakob (tiga dari kanan) diiringi Lim Ann Teck (dua dari kanan) kepada agensi persekutan dan negeri.
Ahmad Yakob, turut menegaskan kesepaduan dan saling hormat menghormati antara kaum adalah kunci utama keharmonian masyarakat berbilang kaum terus terpelihara sehingga kini dan selamanya.
“Setiap tahun kita menyambut kemerdekaan bagi mengenang jasa dan pengorbanan nenek moyang kita terdahulu bagi membebaskan tanah air dari penjajah, justeru pelbagai usaha serta program dirancang bagi memastikan semangat cintakan negara dan perpaduan terus mekar dalam kalangan rakyat,” katanya.
Menurut Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan Lim Ann Teck, sempena 63 tahun negara kita mengecapi kemerdekaan, masyarakat perlu sentiasa menerap dan menghayati Prinsip Rukun Negara dengan penuh rasa persamaan antara kita, di samping menggelorakan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang dengan rasa kasih sayang pada negara.
-NAZ