
Laporan/foto: Muhamad Zaini Dollah/Mohd Faizal Mat Akhir (Seberang Perai Selatan)
BATU KAWAN, 29 Jul (Malaysiaaktif) – Persembahan Kumpulan Kor Askar Melayu Di Raja dengan lagu Kebangsaan serta Kumpulan Koir Perbadanan Perpustakaan Negeri Pulau Pinang dengan lagu patriotik membangkitkan semangat orang ramai serta tetamu jemputan yang menghadiri majlis sambutan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat Negeri Pulau Pinang di Kompleks Plaza Tol Jambatan Sultan Abdul Halim Muad’zam Shah.
‘Malaysia Prihatin’ dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan pada tahun ini yang membawa pengertian seluruh rakyat Malaysia berganding bahu memerangi pandemik COVID-19.
‘Prihatin’ pula melambangkan keprihatinan kerajaan dalam mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat melalui inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan serta kelangsungan hidup rakyat Malaysia.
Sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini disambut dengan amalan norma baru dengan tetamu jemputan serta orang ramai menonton amanat Perdana Menteri Malaysia,Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disiarkan secara langsung dari Putrajaya.
Bagi peringkat negeri Pulau Pinang sambutan bulan kemerdekaan yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri 1 dan 2 serta tetamu kehormat.
Ketua Menteri turut menyempurnakan pelepasan 32 kenderaan pelbagai jenis dalam siri jelajah Info on Wheels Merdeka Jalur Gemilang ke seluruh Pulau Pinang membabitkan agensi kerajaan persekutuan, negeri dan swasta.
-ii-