
Laporan/foto: Siti Noorezrin Mahmod/Muhammad Naim (Jempol)
JEMPOL, 3 Jul (Malaysiaaktif) – Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Mohd Radzi Jidin mengumumkan tarikh pembukaan penuh sekolah iaitu pada 15 Julai dan 22 Julai ini, dan kebanyakkan sekolah telah bersedia untuk menyambut kedatangan semua pelajar ke sekolah.
Dalam tinjauan yang dibuat di sekolah-sekolah, didapati semua telah bersedia dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Menurut Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Mansor, Hamdan Aziz, pihak sekolah telah mengadakan mesyuarat dan perbincangan yang terperinci bagi menetapkan model pengoperasian pembukaan penuh sekolah.
“Mengambil kira keupayaan tenaga kerja dan fasiliti bangunan, pihak kami bersetuju untuk menetapkan Model 1 dalam pengoperasian penuh sekolah,” katanya yang ditemui di sekolah tersebut, di sini.
Terdahulu, kerajaan telah mengariskan tiga model yang perlu dijadikan panduan oleh pentadbir sekolah iaitu Model 1 – sekolah dengan bilik darjah/ruang yang mencukupi untuk semua murid dalam satu sesi, Model 2 – sekolah sedia ada dua sesi jika ruang mencukupi atau sekolah satu sesi yang perlu beroperasi secara dua sesi kerana tidak mencukupi ruang dan Model 3 – model penggiliran bagi sekolah yang tidak mempunyai ruang walaupun sekolah dua sesi.
“Kita akan susun pelajar mengikut keluasan kelas dan mengekalkan jarak satu meter antara pelajar dan juga akan membuka bilik khas bagi menampung semua pelajar dalam satu sesi,” katanya.
Dalam pada itu, pelajar Sekolah Tahfiz Darul Ulum Amir Hakim, 12, menyatakan keterujaannya untuk kembali ke sekolah.
“Sudah lama tidak berjumpa dengan kawan-kawan dan banyak cerita yang ingin dikongsi. Walaupun saya tidak ada peperiksaan tetapi tetap perlu belajar untuk pastikan tidak lupa apa yang dipelajari terutamanya dalam menghafal al-Quran,” ujarnya.
-SH