Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

JaPen Bantu Orang Ramai Daftar MySejahtera

By 3 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Jamilah Sulaiman Nasution (Seremban)

SEREMBAN, 3 Jul (Malaysiaaktif) – MySejahtera merupakan aplikasi yang dibangunkan oleh Kerajaan Malaysia untuk membantu dalam pengawasan penularan wabak COVID-19 di dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri.

Menurut Pegawai Penerangan Daerah Seremban Fauziah Abdullah, walaupun kes harian positif COVID-19 sudah menurun namun penggunaan MySejahtera ini patut diperluaskan bagi memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau pergerakan orang ramai terutamanya sekiranya berlaku sesuatu gejala penularan wabak ini.

“Justeru itu, semua kakitangan sedang giat turun padang dan dalam usaha membantu orang ramai mendaftar dan menggunakan aplikasi ini. Kami turut membantu para peniaga untuk mendaftar kerana jika peniaga tidak menyediakan kod QR, orang ramai tidak akan dapat menggunakan aplikasi ini.

“Maklumat yang dikemukakan akan digunakan untuk membantu KKM merancang dan melaksanakan tindakan yang sewajarnya. Oleh itu, sila bersikap jujur semasa menghantar maklumat bagi membantu KKM memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 ini,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Redjuan (kiri) mendapatkan bantuan daripada warga JaPen untuk menggunakan aplikasi MySejahtera.

Redjuan (kiri) mendapatkan bantuan daripada warga JaPen untuk menggunakan aplikasi MySejahtera.

Bagi suri rumah Nur Hafizah, selain untuk mengimbas kod QR dan mendaftar masuk di lokasi yang terlibat sebagai pengganti mengisi maklumat kontak rapat secara manual aplikasi ini turut memberikan informasi terbaharu mengenai wabak COVID-19 ini.

“Aplikasi ini amat mudah untuk digunakan, ianya juga amat menjimatkan masa kerana saya tak perlu beratur panjang untuk menulis nama,” ujarnya.

Manakala menurut Redjuan Sahid pula, faktor usia bukan penghalang untuk dirinya belajar menggunakan aplikasi terbaharu ini.

“Walaupun saya sudah berusia dan tidak berapa mahir untuk memuat turun, mendaftar dan menggunakan aplikasi ini, namun saya berterima kasih kepada anggota Jabatan Penerangan (JaPen) yang membantu dan menerangkan kepada saya fungsi dan cara menggunakan aplikasi ini,” katanya.

Aplikasi yang dimiliki oleh Kerajaan Malaysia ini diuruskan oleh KKM sebagai pentadbir aplikasi dengan dibantu oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Kerajaan memberi jaminan bahawa maklumat peribadi orang awam hanya akan digunakan bagi tujuan pemantauan dan pencegahan wabak COVID-19 sahaja.

-SH

Tinggalkan komen anda