
Laporan/foto: Wan Seman Wan Bedollah/Mohd Noor Mahmuddin Mohd Mahlil (Kelantan)
JELI, 27 Ogos (Malaysiaaktif) – Amalan mengibarkan Jalur Gemilang seharusnya dijadikan budaya dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia.
Kita harus menyemai perasaan cintakan negara dan perasaan itu harus dibuktikan dengan mengibarkan Jalur Gemilang setiap masa, tanpa perlu menunggu program-program kemerdekaan yang dianjurkan oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Penerangan.
Ketua Jajahan Jeli, Nik Raisnan Haji Daud, berkata apabila kesedaran ini ada dalam diri setiap orang, ia bermakna kita telah berjaya menjiwai kemerdekaan negara.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan program [email protected] & Info On Wheels (IOW) Peringkat Daerah Jeli di Dewan Serbaguna, Kampung Sungai Rual di sini pagi tadi.
“Kita ingin lihat semangat patriotisme ini sentiasa mekar dalam hati setiap rakyat Malaysia dan semoga rasa cinta kita kepada negara tidak akan kunjung padam sampai bila-bila,” katanya lagi.
Beliau juga turut menyeru agar seluruh rakyat Malaysia terutama warga Jeli menzahirkan semangat patriotisme dengan melakukan inisiatif mengibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing, di bangunan-bangunan pejabat, gedung perniagaan, kenderaan dan juga dengan menyiarkan gambar atau video menerusi media sosial dan ini adalah bertepatan dengan tema sambutan Bulan Kebangsaan Kali Ke-63 iaitu ‘MALAYSIA PRIHATIN’.
Menurut Batin Masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Rual, Bidin Daun, 58, walaupun Malaysia masih berdepan dengan wabak COVID-19 namun semangat patriotisme dan cintakan negara perlu sentiasa mekar di kalangan rakyat.
“Semangat cintakan negara amat penting kerana ia menjadi tunjang perpaduan antara kaum di negara ini,” ujarnya lagi.
Turut hadir Penolong Pengarah, Jabatan Penerangan Negeri Kelantan, Mohd Zamzuri Saleh dan Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri.
-NAZ