Skip to main content
HomePutrajaya

Pengisian Pendidikan Rukun Negara Lebih Menyeluruh

By 27 Ogos 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 27 Ogos (Malaysiaaktif) – Pendidikan Rukun Negara akan dilaksanakan bukan sebagai subjek baharu tetapi menerusi pengisian secara menyeluruh dalam kurikulum sekolah dan aktiviti kemasyarakatan bagi meningkatkan penghayatan falsafah negara itu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata kelab Rukun Negara telah wujud di setiap sekolah manakala sekretariat Rukun Negara wujud di peringkat universiti.

“Pendidikan Rukun Negara bukan sebagai subjek baharu tetapi nak dibuat betul-betul dengan cara diserapkan dalam subjek sedia ada supaya soal penghayatan itu benar-benar  berlaku.

“Pendidikan (Rukun Negara) itu maksudnya kita mahu kembangkan dengan cara lembut dan bijaksana bagi meningkatkan penghayatan dalam kehidupan harian supaya Rukun Negara itu benar-benar boleh mengalir dalam darah kita,” katanya.

Sebelum ini Saifuddin dilaporkan berkata pasukan khas bagi Pendidikan Rukun Negara itu diketuai oleh Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Saifuddin berkata sistem pendidikan sudah cukup baik, namun perlu ada pendekatan baharu dalam memupuk semangat patriotik dalam jiwa pelajar.

Mengambil contoh situasi COVID-19 ketika ini, beliau berkata pandemik itu memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira bangsa, iaitu rakyat memberi pengiktirafan kepada petugas barisan hadapan atas pengorbanan mereka.

“Kalau bicara soal jiwa merdeka, soal patriotik selalunya akan dikaitkan dengan pahlawan seperti askar atau polis, tapi situasi COVID-19 mengajar  kita bahawa seorang doktor dan jururawat, penunggang motor yang menghantar makanan, wartawan adalah frontliners (pahlawan).

“Jadi harus ditanamkan juga dalam diri anak muda dari sekolah, selain lagu  patriotik, mengibar bendera…bahawa mengutip sampah sebenarnya menjaga kedamaian, menjaga kebersihan itu patriotik,” jelasnya.

Dalam pada itu Saifuddin mengakui terdapat beberapa pemimpin politik tidak mencerminkan elemen kesopanan dan kesusilaan terutamanya ketika persidangan di Parlimen.

Tegasnya pemimpin politik seharusnya mencontohi persidangan dewan di negara lain iaitu menggunakan bahasa yang tinggi selain tajam dalam perbahasan agar rakyat dapat melihat tatacara yang sopan dan bersusila.

“Kita tidak perlu menjerit memaki hamun, mengaibkan … ada waktunya kita perlu belajar dengan sesetengah negara lain, bagaimana ia boleh berbeza dalam sidang dewan mereka dengan bersopan, penggunaan bahasa tinggi bukan cara kasar,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda