
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Mohammad Ezwandi Mohammad Radzi (Ipoh)
KAMPUNG GAJAH, 8 Ogos (Malaysiaaktif) – Kempen Kibar Jalur Gemilang perlu dipergiatkan demi menanamkan rasa cinta terhadap negara.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin bersempena sambutan Bulan Kebangsaan ini orang ramai mestilah menzahirkan rasa kecintaan terhadap negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang.
“Rasa cinta itu bukan saja pada hati tapi mestilah dizahirkan dengan semangat mengibarkan bendera kebanggaan Malaysia ini di rumah, bangunan, dan mana-mana tempat yang bersesuaian.
“Terima kasih diucapkan kepada Jabatan Penerangan dan agensi-agensi yang terlibat dalam usaha mewarnai semangat kemerdekaan dengan program-progam sebegini walaupun perlu akur dengan arahan kerajaan untuk patuh pada Prosedur Operasi Standard (SOP) ekoran pandemik COVID-19,” katanya ketika merasmikan Program Merdeka@Komuniti sempena Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT), di sini semalam.
Sementara itu, Pengarah Penerangan Negeri Perak, Mohd Taip Ubah, berkata program yang diatur sepanjang Bulan Kebangsaan ini bertujuan untuk menyampaikan mesej kenegaraan kepada seluruh lapisan masyarakat.
“Kita tetap mematuhi SOP ditetapkan dan mengekalkan kemeriahan sambutan ini dengan melaksanakan program secara bersemuka dan digital bersesuaian dengan keadaan semasa,” katanya merangkap Ketua Konvoi KMJG kali ini.
Turut hadir Pegawai Daerah Perak Tengah, Rozalinawati Che Roslee.
-SH