Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

Tanam Kesedaran Melalui Alam Sekitar

By 8 Ogos 2020Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Noorshazana Shaadan / Norhaidah Md Esa (Port Dickson)

PORT DICKSON, 7 Ogos (Malaysiaaktif) – Stigma masyarakat terhadap mereka yang terlibat dengan najis dadah dapat diubah apabila Orang Kena Pengawasan (OKP) di bawah program Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mempunyai tahap kesedaran yang tinggi akan aspek kebersihan.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan, Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata penerimaan masyarakat terhadap golongan ini dapat dibuang sekiranya OKP mempunyai sensitiviti terhadap masalah berkaitan kebersihan alam sekitar.

“Di Malaysia, kita mempunyai lebih 85 ribu OKP yang terlibat dalam program pemulihan dadah bersama AADK,  kita berharap agar mereka ini dapat terlibat sama dalam apa jua program anjuran AADK di negeri dan daerah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Kembara Go Green “Back to Nature” Sukarelawan Antidadah Negeri Sembilan di Tanjung Tuan, di sini.

Tambahnya, penglibatan Skuad Antidadah yang terdiri daripada belia juga turut membantu dalam memberikan ilmu pengetahuan yang lebih menyeluruh akan isu seperti penyalahgunaan dadah dan masalah sosial serta dapat menjalankan aktiviti yang lebih sihat.

WhatsApp Image 2020-08-07 at 22.47.17 (1)

Shanon (tengah) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Zulkifli (kanan).

“Alam sekitar yang bersih sebenarnya dapat membantu dalam membendung serta menanam ciri-ciri yang bersih dalam kalangan mereka yang terlibat dengan dadah ini supaya membantu mengurangkan penglibatan mereka kepada dadah itu sendiri.

“Kebiasaanya, kita sering mengaitkan lokasi penagihan dadah ini dengan suatu keadaan yang kotor dan terbuang, jika kita lihat satu teori barat iaitu Broken Window Theory, keadaan yang kotor dapat mengundang kepada aktiviti yang tidak sihat, jadi, kita perlu tanam dalam diri mereka akan benda yang bersih, ia dapat membantu dalam mengurangkan isu penagihan ini kerana mereka lebih sensitif serta kurang gemar akan suatu keadaan yang kotor seperti port penagihan,” katanya lagi.

Menurut Zulkifli, kolaborasi antara agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Penerangan, syarikat swasta dan NGO adalah suatu perkara yang penting dalam menggalakkan rakyat Malaysia kembali kepada alam semulajadi dan menandakan sikap tanggungjawab sosial setiap pihak dalam menangani isu ini.

Antara pengisian lain  anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Sembilan tersebut ialah kembara di sekitar Hutan Rekreasi Tanjung Tuan dan upacara memacakkan Jalur Gemilang di puncak Bukit Batu Putih.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan, Shahnon Mohamad turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada Zulkifli sebagai simbolik dalam menyemarakkan Bulan Kebangsaan ke-63 serta mengedarkan bendera kepada para peserta.

-AK

Tinggalkan komen anda