Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

SOP Berteraskan Akademik dan Non Akademik

By 8 Ogos 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/Rozita Ibrahim (Politeknik Port Dickson)

PORT DICKSON, 7 Ogos (Malaysiaaktif) – Meskipun perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, sesi pendaftaran pelajar baharu sesi Jun 2020 Politeknik Port Dickson (PPD) tetap berjalan lancar.

Timbalan Pengarah Akademik, Dr. Nor Haniza Mohamad, berkata pihak PPD telah menggariskan beberapa SOP mengikut ketetapan pengurusan politeknik yang berteraskan kepada akademik dan non-akademik.

“SOP mengikut akademik ini termasuklah SOP ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik kuliah, studio, bengkel dan makmal serta SOP ketika pelaksanaan penilaian dan peperiksaan akhir, manakala, SOP mengikut non-akademik pula melibatkan SOP ketika penggunaan atau aktiviti di luar kuliah,” katanya.

Tambahnya, pihak pengurusan tertinggi, pemegang SOP, serta Unit Kesihatan dan Keselamatan PPD akan melaksanakan pemantauan secara berterusan bagi melihat pematuhan keatas SOP yang telah ditetapkan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Abdul Rahim Ibrahim berkata, pendaftaran pelajar baharu pada sesi kali ini melibatkan empat jurusan utama di PPD iaitu Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik dan Perdagangan.

“Jumlah pelajar yang terlibat bagi sesi pendaftaran kali ini juga telah dikurangkan berbanding setiap sesi pengambilan pelajar baharu serta pihak PPD juga telah menyusun atur semua SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti,” ujarnya.

Menurut Abdul Rahim, kebiasaannya pihak PPD akan mengadakan pertemuan bersama pelajar baharu bersama ibu bapa dan kakitangan PPD pada setiap kali pendaftaran pelajar baharu, namun ianya hanya dilaksanakan secara atas talian bagi sesi kali ini.

“Pendekatan baharu ini agak ketat dan pihaknya hanya mengikut seperti apa yang ditetapkan iaitu sentiasa menjaga penjarakan fizikal dan jumlah pelajar yang ada di dalam dewan pada satu-satu majlis juga turut dipatuhi,” katanya lagi.

Seramai 579 orang pelajar baharu telah mendaftar bagi Sesi Pendaftaran Pelajar Baharu Jun 2020 yang dijalankan selama dua hari yang bermula 4 hingga 5 Ogos lalu di Dewan Wawasan, Politeknik Port Dickson.

-AK

Tinggalkan komen anda