
Laporan/foto: Shaharuddin Daud@Abu Hassan/Razali Kamarudin (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 2 Sep (Malaysiaaktif) – Program Merdeka@Komuniti Pejabat Penerangan Daerah Kuala Pilah dimeriahkan dengan program rekreasi ‘10,000 Langkah Kuala Pilah Merdeka Malaysia’ yang bermula di perkarangan Dewan Dato’ Bahaman ke Kem Wataniah di Bukit Pilah, Sabtu lalu.
Program tersebut melibatkan ketua dan warga beberapa jabatan serta agensi pentadbiran di Kuala Pilah, masyarakat setempat serta Kem Batalion ke-3, askar Wataniah.
Pengarah Penerangan Negeri Sembilan, Shahnon Mohamad, berkata program ini dilaksanakan bukan sekadar untuk memenuhi jadual bulan kemerdekaan namun pengamalan dan penglibatan masyarakat agar sentiasa mengibarkan Jalur Gemilang amat dititikberatkan.
“Jabatan Penerangan berperanan untuk menggelorakan semangat kemerdekaan dalam kalangan masyarakat dan mengajak orang ramai supaya mengibarkan Jalur Gemilang dalam bulan kemerdekaan ini, justeru menerusi program seumpama ini objektif tersebut dapat dicapai,” katanya.
Kemuncak program ini telah menyaksikan upacara menaikkan Jalur Gemilang yang diterima oleh Penolong Pegawai Pemerintah Batalion ke-3 Askar Wataniah, Mejar Ziarul Afli.
Dalam pada itu, Junaidah Daud, 37, salah seorang peserta, menyifatkan program sebegini juga dapat membina sikap prihatin masyarakat terhadap kesihatan dan kebersihan alam sekitar di samping menghayati erti kemerdekaan.
“Semangat cintakan negara penting dan perlu dizahirkan, namun keprihatin terhadap alam sekitar juga dapat mencerminkan semangat tersebut,” ujarnya ketika ditemui.
Dalam pada itu, program serahan Jalur Gemilang kepada wakil jabatan dan agensi di daerah Kuala Pilah turut diadakan.
-AK