Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Pengisahan Tokoh Tempatan Gelorakan Semangat Pelajar SRK Don Bosco

By 2 September 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hamidah Len/Vicky S. Matanjang (Kota Kinabalu)

RANAU, 2 Sep (Malaysiaaktif) – Membaca kisah tokoh-tokoh perjuangan kemerdekaan menjadi pilihan alternatif dalam memupuk semangat patriotik dalam kalangan murid-murid sekolah.

Menurut guru Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Don Bosco Kundasang, Mohamad Wal Asri, sepanjang bulan kebangsaan pada tahun ini, pihak sekolah menganjurkan penceritaan tokoh-tokoh tempatan untuk murid tahap dua pada setiap hari.

“Antara kisah yang diceritakan adalah sejarah kepimpinan Ketua Menteri Sabah yang pertama Tun Muhammad Fuad Stephens, kepahlawanan Datu Paduka Mohammad Salleh Datu Balu Salleh, pahlawan suku Murut Antanom @Ontoros Endoi dan beberapa pejuang kemerdekaan lain.

“Sebagai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pemilihan penyampaian cerita tokoh-tokoh kemerdekaan ini dilakukan menerusi pembesar suara agar kesemua murid memperolehi iktibar daripada cerita-cerita yang disampaikan,” katanya ketika ditemui sempena Program Merdeka @Komuniti, di sini baru-baru ini.

Guru berusia 29 tahun yang berasal dari Tamparuli ini berpendapat walaupun tidak terdapat subjek khusus berkaitan Rukun Negara, namun nilai-nilai dalam lima prinsip tersebut tetap dijadikan keutamaan dalam mata pelajaran lain seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Sejarah dan Bahasa Malaysia.

Mohamad (tiga dari kiri) bersama-sama pemimpin tempatan pada program penyerahan Jalur Gemilang di Dewan Bundu Tuhan Kundasang.

Mohamad (tiga dari kiri) bersama-sama pemimpin tempatan pada program penyerahan Jalur Gemilang di Dewan Bundu Tuhan Kundasang.

“Bacaan ikrar Rukun Negara pada setiap hari Isnin juga masih diamalkan di SRK Don Bosco, malah sekolah kami baharu sahaja mengadakan Sambutan Bulan Kebangsaan peringkat sekolah pada 24 Ogos lepas bagi menanam semangat perpaduan serta menghargai kemerdekaan dalam kalangan murid-nurid dan warga kerja SRK Don Bosco.

“Saya juga berpendapat kewujudan Kelab Rukun Negara berupaya meningkatkan pemahaman terhadap kepentingan pembudayaan prinsip-prinsip kenegaraan,” katanya.

Sementara itu, Darla Bungan, murid tahun enam SRK Don Bosco berasa bertuah kerana diberi peluang menyertai dalam program yang diadakan di Dewan Kampung Bundu Tuhan tersebut.

“Saya dan rakan-rakan gembira kerana diberi peluang menerima Jalur Gemilang sebagai wakil generasi muda bagi penduduk sekitar Kampung Bundu Tuhan,” ujarnya.

Gadis cilik peranakan Dusun dan Kenyah ini turut merakamkan kesempatan mengucapkan selamat menyambut Bulan Kebangsaan kepada semua guru, rakan-rakan SRK Don Bosco dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

-SH

Tinggalkan komen anda