Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

11 Mangsa Ribut Terima Wang Ihsan

By 24 September 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fasharina Kholil/APM Sik (Sik)

SIK, 24 Sep (Malaysiaaktif) – Nasib 11 buah keluarga yang terlibat dalam ribut sepanjang Januari hingga April 2020 terbela apabila Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Kedah menyalurkan sumbangan wang ihsan bagi membantu mangsa terlibat.

Sumbangan antara RM200 hingga RM500 ini telah disampaikan oleh Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Masyarakat) Muhammad Anas Fakhri Mohammad Zin, di Pejabat Daerah dan Tanah Sik, di sini.

Pegawai APM Sik, Lt. (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, sumbangan wang ihsan ini juga merupakan salah satu insentif daripada NADMA dalam meringankan beban mangsa yang terlibat di dalam bencana alam.

“Bantuan ini merupakan inisiatif yang diambil oleh NADMA bagi membantu meringankan beban penduduk yang menjadi mangsa bencana alam dan jumlah sumbangan pula mengikut jumlah isi rumah.

“Sumber bantuan tersebut disalurkan daripada Tabung Khas Bencana dan disumbangkan mengikut nilai kerosakan sesebuah kediaman yang merupakan satu bentuk bantuan keprihatinan kerajaan terhadap masyarakat,” katanya yang ditemui dalam serahan tersebut, kelmarin.

Haisul berharap agar sumbangan ini dapat meringankan beban mangsa untuk membaiki kerosakan rumah akibat daripada ribut disamping memberi keceriaan buat mangsa bencana ribut terlibat.

“APM akan terus berusaha secara berterusan untuk memberi perkhidmatan kecemasan sebaik mungkin demi kelangsungan hidup rakyat di sini.

“Sekiranya berlaku bencana, orang ramai dinasihatkan untuk mengikut saranan pihak berkuasa dengan membuat laporan polis sekiranya berlaku kerosakan pada kediaman terlibat bagi memudahkan urusan bantuan,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda