Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

115 Kes Baharu Direkod, Sabah Masih Sumbang Kes Tertinggi

By 29 September 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 29 Sep (Malaysiaaktif) – Kes baharu COVID-19 di negara ini kekal tiga angka iaitu sebanyak 115 kes dengan Sabah masih menjadi negeri menyumbang kes positif tertinggi melibatkan 98 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata jumlah kes baharu dilapor itu melibatkan 112 penularan tempatan membabitkan 98 warganegara dan 14 kes bukan warganegara, serta tiga kes import.

Beliau berkata daripada keseluruhan 112 penularan dalam negara, 11 daripadanya mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

“Kes tempatan melibatkan Sabah (98 kes), Selangor (10 kes), manakala Terengganu, Melaka, Kedah dan Labuan masing-masing satu kes, sementara tiga kes import pula melibatkan mereka yang pulang dari India.

“Terdapat pertambahan kluster di Selangor iaitu Kluster Jalan Apas, dan tiada kematian baharu,” katanya dalam kenyataan perkembangan COVID-19 di sini semalam.

Beliau berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia melepasi angka 11,000 dengan 11,034 kes, sementara kes aktif kebolehjangkitan ialah 1,011 kes manakala terdapat 54 kes sembuh menjadikan jumlah keseluruhan pulih ialah 9,889 kes.

Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di daerah Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna di Sabah yang berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam tadi, Dr Noor Hisham berkata seramai 962,661 penduduk akan disaring di keempat-empat daerah tersebut.

Beliau berkata saringan bersasar akan dilakukan bagi komuniti setempat dan kumpulan berisiko tinggi meliputi lima peratus daripada jumlah penduduk.

“Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus menjalankan langkah kawalan dan pencegahan di keempat-empat daerah ini dan pangkalan perubatan akan dibuka di kawasan PKPDB.

“Kerjasama daripada penduduk setempat adalah amat diperlukan bagi memastikan tindakan ini berjaya memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 dalam negara kita,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda